suria

Temani Warga Emas Ke Tanah Suci

ASSALAMUALAIKUM. Berkunjung ke Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan umrahlebih kerap menjadi pilihan warga emas, golongan pencen atau lebih tepat lagi mereka yang sudah berusia 60 tahun ke atas.

Bukan mereka enggan melancong ke negara lain untuk bercuti dan berbelanja tetapi mereka lebihcenderung menghabiskan sisa-sisa kehidupan dengan berkunjung ke Tanah Suci, terutama dikalangan sederhana.

Cubalah tanya kepada golongan yang dimaksudkan, selalunya jawapan diberi hampir sama, iaitulebih baik menghabsikan wang untuk beribadat daripada berbelanja di negara lain yang indahnya hanya seketika.

Masih saya ingat ketika membuat liputan di sebuah kediaman orang berada hampir 20 tahun lalu.


Antara lain, beliau berkata:“Saya lebih suka ke Makkah berbanding negara lain. Lebih baik wang pencen dihabiskan untuk kerja-kerja ibadat. Sebab itu saya tidak keberatan membawa cucu-cucu ke Tanah Suci walaupun mereka berusia di bawah lima tahun.

“Awak jika ada rezeki, bawalah anak-anak ke Tanah Suci. Biarpun mereka belum mengerti apa-apa, tapi kita dedahkan mereka kepada perkara membabitkan ibadat,” ujarnya.

“Tuan haji bayarkan duit umrah untuk cucu dan anak-anak ke?” tanya saya ingin tahu.

“Ye, saya bayar untuk cucu-cucu saya. Puas hati begitu. Kita pun tak nak kacau anak-anak. Mereka hendak pergi tapi jika anak-anak tinggal kesian juga. Jadi, saya bayarkan dan kami pergilah sekeluarga,” cerita beliau gembira.

“Raihanah dah sampai Makkah ke?” tanya Tuan Haji Mohamad.

“Alhamdulillah. Sudah tuan haji,” balas saya tersenyum.

“Pergi umrah atau haji?” tanya beliau lagi.

“Kedua-duanya. Mula-mula tunai haji dan selepas itu umrah pula dengan keluarga,” balas saya.

“Pernah bawa anak-anak?” tanya beliau ingin tahu.

“Alhamdulillah. Dah pernah bawa anak-anak tunai umrah pada 2001,” balas saya bersungguh.

“Bagus tu. Alhamdulillah,” ucap Haji Mohamad.

Beliau mengalihkan soalan kepada jurugambar seketika.

Jurugambar maklumkan belum ada rezeki ke Tanah Suci dan berharap dapat berkunjung ke Baitullah suatu hari nanti.

“Insha Allah, mudah-mudahan ada rezeki awak nanti,” balas beliau yang rajin bercucuk tanam pelbagai jenis ulam dan buah-buahan tempatan di persekitaran kediamannya di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Setiap tahun beliau ke Tanah Suci dan sering membawa anak cucu untuk menunaikan umrah keranalebih selesa beribadat bersama-sama keluarga berbanding bercuti berdua dengan isteri di negara lain.

“Di Makkah dan Madinah, kita bukan saja dapat beribadat tetapi jika hendak berbelanja pun sesuai kerana barang-barangnya murah dan kita turut membantu meningkatkan ekonomi peniaga di sana,”ujarnya tersenyum.

Itu cerita orang pencen yang masih mampu membawa anak cucu ke Tanah Suci. Alhamdulillah. Namun begitu, bukan semua di kalangan kita mampu berbuat begitu.

Haji Mohamad adalah contoh warga emas yang masih mahu ditemani keluarga termasuk anak dan cucu setiap kali ke Tanah Suci biarpun pada zahirnya saya melihat beliau dan isteri tidak bermasalah kesihatan.

Bagaimana pula jika ibu bapa anda bermasalah kesihatan dan mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci? Mahukah kita menemani mereka dan bersabar dengan perlakuan dan ragam insan yang melahir dan membesarkan?

Pada paparan kali ini, saya hendak menarik perhatian pembaca, terutama mereka yang masih adaibu bapa dan mentua yang sudahpun memasuki usia emas serta berhasrat mengerjakan ibadat umrah.

Tidak keterlaluan saya katakan, tidak ramai anak yang mahu menemani ibu bapa atau mentua mereka yang begitu berhasrat untuk menunaikan umrah apatah lagi haji.

Pelbagai alasan diberikan kerana tidak mahu menemankan waris terdekat mereka menjejakkan kaki ke Baitullah dan menziarahi Rasulullah S.A.W di Madinah. Ada yang mengatakan tidak dapat cuti, tidak cukup wang dan tiada sesiapa boleh menjaga anak-anak mereka.

Hakikatnya, berusahalah untuk memohon cuti lebih awal kerana sudah tentu,kunjungan ke Makkah sudah diatur daripada awal.

Untuk alasan tidak cukup wang, saya pernah cadangkan kepada si waris agar berbincang adik-beradik untuk melepaskan seorang daripada mereka untuk menemani si ibu atau ayah.


Begitu jugadengan alasan tiada siapa menjaga anak.

Semua boleh dirunding kerana paling penting perlu ada kerjasama bagi melancarkan segala urusan perjalanan ibu ayah mereka yang semakin dimamah usia. Ramai yang terlepas pandang perkara seumpama ini.

Ketika bertugas di sebuah agensi pengendali umrah, saya amat prihatin terhadap keadaan ini dan lazimnya saya menasihatkan waris terdekat, terutama si anak agar menemani ibu atau bapa mereka.

Saya tidak sampai hati melihat dan melepaskan seorang warga tua ke Tanah Suci sendirian apatah lagi diketahui keuzuran dan penyakit sedia ada yang dihidapinya.

Mungkin si anak terasa sudah memadai membayar kos pakej umrah ibu bapa mereka sedangkan mereka tidak sedar kudrat ibubapa yang semakin berkurangan dan lemah.

Ayat seperti, “sampai sana nanti mak ayah sihat…” seringkali saya dengar tetapi hakikatnya, ia umpama berserah sepenuhnya tanpa sebarang usaha lanjutan malah tidak memikirkan sebarang permasalahan atau risiko yang bakal dihadapi ibu bapa mereka.

Ada juga segelintir waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur kepada petugas umrah.

Sebenarnya, petugas bukan menjaga seorang jemaah kerana mereka perlu memantau dan menjagai puluhan jemaah lain.

Selain itu, semua orang mahu sihat untuk melancarkan ibadat di Tanah Suci.

Demam, pening, sakit tekak atau kulit kering adalah penyakit ringan yang sering dihadapi tetapi tidaklah membebankan orang lain.

Namun begitu, bayangkan jika masalah kesihatan sedia ada melarat dan jemaah warga emas terlantar berhari-hari.

Memang ada bantuan daripada jemaah lain tetapi sedikit sebanyak ia turut menjejaskan aktiviti ibadat jemaah berkenaan yang tentu sekali mahu meningkatkan ibadat di masjid.

Mungkin sehari dua, tidak menjadi masalah tetapi jika sudah berhari-hari, ia tentu mengundang kesulitan kepada jemaah sebilik dan dikhuatiri boleh mencetuskan perbalahan sesama mereka untuk menjaga jemaah warga emas itu.

Saya tidak sampai hati hendak melepaskan ibu bapa saya berdua ke Tanah Suci tanpa kehadiran waris iaitu anak-anak yang boleh menjaga , mengambil berat perihal makan minum dan segala urusan untuk memenuhi kemahuan mereka.

Sehubungan itu, ibu dan arwah bapa saya tidak pernah saya biarkan ke Tanah Suci berdua kerana memikirkan keperluan mereka yang wajar diberi keutamaan.

“Ibu cadang hendak pergi umrah sepanjang Ramadan. Satu bulan di sana. Tak pernah ibu berpuasa sebulan di sana,” pinta ibu saya pada suatu hari.

“Ibu nak pergi seorang?” tanya saya lagi.

“Iyelah. Boleh tak?” tanya ibu pada suatu petang.“Tak boleh. Lama sangat lagi pun ibu seorang. Susah kalau sakit pening nanti,” ujar saya pula.

Saya tahu ibu mahu berpuasa sebulan pada Ramadan bersama-sama seorang daripada besannya tetapi saya tidak mengizinkan.

“InsyaAllah ibu sihat di sana nanti,” pinta ibu sekali lagi.

“Janganlah. Nanti apa-apa berlaku di sana, susah juga. Kalau pergi dengan anak-anak tak ada masalah,” ujar saya pula.

“Ibu nak rasa puasa di sana. Teringin sangat,” pinta ibu lagi penuh mengharap.“InsyaAllah, lain kali saja jika ada rezeki bolehlah pergi berpuasa sebulan di sana,” balas saya.

Ibu akur dan saya tersenyum puas. Pelbagai kepayahan yang terpaksa diharungi jika warga emas pergi sendirian. Mereka kadangkala bukan saja tiada kudrat hendak menunaikan solat berjemaah tetapi hendak berbelanja juga kadangkala memesan daripada jemaah sebilik.

Justeru, saya nasihatkan agar anak perempuan wajar sekali menemani ibu mereka manakala anak lelaki menemani bapa mereka yang berhasrat menjejakkan kaki ke Baitullah. InsyaAllah bersambung minggu depan.

Makkah, Temani Ibu Bapa

Artikel Lain