PETALING JAYA: Kumpulan Media Star pada Isnin mengumumkan jalinan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjayakan Kempen 3J bagi menyokong usaha agensi itu untuk memerangi rasuah di negara ini. Kempen 3J merupakan inisiatif terkini SPRM yang merujuk kepada perbuatan 'Jangan Hulur, Jangan Kawtim (kompromi) dan Jangan Settle (selesai)' antara pemberi dan penerima rasuah. Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, syarikat tersebut akan menggunakan semua platform media yang bernaung di bawahnya untuk tujuan tersebut. "Kita mahu mendidik generasi baharu tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai integriti dan perilaku bermoral. "Platform yang akan digunakan seperti melalui Radio Suria FM, portal berita mStar Online dan The Star Online serta Star TV," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena perasmian Kempen 3J di Menara Star pada Isnin. Jelasnya, sifat integriti yang rendah menyebabkan individu terbabit mengambil jalan pintas untuk kaya hingga sanggup melanggar undang-undang. Beliau berkata, ramai ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menghulurkan imbuhan kepada pihak berkaitan demi untuk mendapatkan sesuatu. "Contohnya, ada ibu bapa yang memberikan imbuhan kepada jurulatih memandu untuk memastikan anak mereka memperoleh lesen dan memberitahu anak-anak bahawa amalan seperti itu adalah perkara biasa. "Ada juga ibu bapa yang berbuat demikian kepada guru-guru untuk mendapatkan soalan bocor peperiksaan," katanya.