MACAM tiada benda lain. Sebiji pil yang ukurannya tidak sampai satu sentimeter menjadi koleksi untuk pameran seni solonya. Itulah Hamir Soib! Pelukis yang sebelum ini cukup erat dengan lukisan yang bersaiz mega, sebesar jet pejuang pun ada. Tapi untuk pamerannya kali ini, Hamir beri keistimewaan kepada karya mini yang comel-comel belaka. Sebab itu pamerannya diberi nama Small Work. Semua sekali ada lebih kurang 150 karya bersaiz kecil Hamir di galeri Segaris Art Centre, Publika, Kuala Lumpur. Karya yang dihasilkan dari 2005 hingga 2017 itu dipamer dari 25 April hingga 19 Mei ini. "Saya mahu raikan yang kecil-kecil, yang selalunya kita tak peduli. "Padahal yang kecil dan remeh inilah kadang-kadang penting dalam hidup kita," katanya ketika temubual bersama mStar Online. Gigi Di galeri itu, terpamer lukisan objek-objek kecil seperti gigi, gunting, lalat, beg tangan dan yang paling kecil, pil. Memang sangat kecil, tapi Hamir kata saiz tak penting, yang penting berapa besar maksudnya. Untuk lukisan pil, ada tujuh jenis semuanya yang dilukis atas kanvas bersaiz 3cm x 3cm. Tambah menarik, ia dibungkus dalam plastik ubat dari ‘Klinik Dr Hamir’. "Sekarang ada banyak isu dan beban. Cukai, tol, minyak, hari-hari orang Malaysia kena makan pil atau ubat penenang. Saya sebenarnya tak lukis pil, saya melukis 'beban' itu. "Nak dapat gelaran pun senang, jadi saya pilih jadi Dr Hamir," katanya merujuk plastik ubat cap ‘Klinik Dr Hamir'. Klinik Dr Hamir Anak kelahiran Muar, Johor ini menyambung ceritanya tentang tujuh biji pil yang dilukisnya. Segalanya bermula ketika beliau menemani ibunya di wad selama dua bulan, awal tahun ini. Di wad sama, Hamir pula ditemani kanvas-kanvas kecil yang dibawa dari rumah. Beg darah yang ada depan mata dilukisnya dan diberi nama One Pain, begitu juga beg urin,The Wasteland. Tak ketinggalan gambar kunci pintu wad (Door To Heaven) dan beberapa barang lain di wad itu seperti gunting (Crippled in the fear of failure) dan kain juga jadi 'mangsa' seni Hamir. “Ingatkan nak pamer dalam lima keping (lukisan) di wad emak saya, sebab setiap kali saya buat 'show' ibu bapa saya akan datang, tapi tak sempat. “Sempat siap tiga saja dan mak saya meninggal dunia, jadi lukisan pil ini kesinambungan dari ‘projek hospital’ yang saya cadang nak buat,” katanya sambil menambah ibunya meninggal dunia pada Mac lalu. Hamir juga tertarik untuk melukis pelbagai spesis lalat. Haiwan yang dianggap selalu mengganggunya selama 30 tahun dalam bidang seni. “Banyak sangat lalat mengganggu hidup kita, tak penting tapi hinggap sana-sini, hingga jadi penting. “Bukan dalam seni saja, di jabatan-jabatan lain, syarikat lain pun ada,” katanya sinis. Dan Hamir mengaku karyanya, kecil atau besar ada kisah tersendiri. Terpulang kepada mata dan minda bagaimana mahu menilai. Sarkastik, estetik atau apa saja. “Isu politik dan sosial, dan apa yang berlaku di persekitaran, saya serap dan keluarkan balik dalam bentuk karya. “Bila himpunkan balik, kita tahu Hamir tak mengulang (karya), ada isu saya nak orang nampak, saya pelukis yang berfikir, bukan estetik semata,” katanya. Lukisan koleksi beg tangan pasti jadi bualan di pameran ini. Hamir melukis banyak beg tangan jenama mewah yang mampu bikin golongan wanita tak tidur malam. Itu pun ada ceritanya. Cuma koleksi ini ceritanya lebih dekat dengan diri dan pengalaman Hamir. Begitu juga lukisan gigi, tak ada kaitan dengan orang lain, tapi masih relevan untuk dikongsi. Memang berbeza bila melihat aneka beg tangan dipamer di dinding, dalam bentuk lukisan. Biasanya tas-tas tangan ini hanya dilihat di rak atau dalam cermin di butik mahal. Namun, hasil kerja seni tak ada beza. Beg tangan sebenar yang asli tak dinafi cukup kemas buatan dan jahitannya. Lukisan beg tangan Hamir juga berkualiti seni serupa. .my collection (original) Hamir sebelum ini kurang kenal dengan jenama mewah beg tangan, tapi selalu nampak isteri-isteri pelanggan menggayakannya. “Biasanya bila si suami datang tengok koleksi saya, si isteri hanya diam. Saya mulakan bicara dengan puji beg tangan mereka. “Bila dah mula kenal beg tangan mereka, dah tahu tentang rekaannya, saya sedar ia satu bentuk seni. "Betapa cantiknya rekaan, jahitan dan kemasannya. Kini saya mula tidak sarkastik terhadap wanita yang pakai beg mahal-mahal ini. Kalau saya wanita pun mungkin saya nak satu,” katanya. Di sebalik kekagumannya itu, Hamir tetap mahu meluahkan sesuatu dan ia diluahkan dengan cara bersahaja. Hamir meletakkan satu lagi set koleksi lukisan beg tangan jenama mewah, tetapi dilukis pembantunya. Ia dipamer betul-betul di sebelah koleksi lukisan beg tangan yang dilukisnya sendiri. “Saya asingkan (karya) sebab di Malaysia ini kalau tak mampu beli yang original kita beli yang palsu untuk tunjuk yang kita juga ada gaya atau status. “Bukan kesalahan pun sebenarnya, ini sikap kita dalam nak mengejar status, nak letak diri kita setaraf atau lebih dari orang lain,” katanya penuh makna. .my collection (fake) Sudah terbiasa sangat dengan lukisan besar, Hamir ada sudut pandang tersendiri tentang karya kecil. Katanya, karya kecil adalah cetusan awal untuk karya yang lebih besar. Misalnya karya Study for Hot Seat yang kemudian 'dikembangkan' kepada Hot Seat (2014) berukuran 16 kaki persegi. Study for Hot Seat Tapi, Hamir mengaku karya besar itu lebih berbaloi dari segi wang dan sebagai lambang status kepada pengumpul karya seni. “Ramai minat yang besar sebab lambang status. Bila ada yang beli karya besar yang saya buat satu dalam setahun, mereka rasa bangga. “Orang kaya dia tak sembang dia ada Ferrari, semua orang kaya ada Ferrari, dia sembang tentang apa karya seni yang dia ada,” katanya. Hot Seat Namun, nampak raut kesal di wajah anak seni ini apabila beliau bercakap tentang kedudukan seseorang pelukis yang karya besarnya telah dibeli dan dibawa pulang ke rumah 'pemilik' baharunya. Ketika itu, katanya, pelukis seperti diletak tepi, dan pemilik mula tersenyum bangga dengan karya seni yang dibeli.