suria

Usah Dibawa Dokumen, Pelbagai Kad Ke Tanah Suci

ASSALAMUALAIKUM. Perlukah kad pengenalan, kad pencen, kad kredit, kad pengeluaran wang atau ATM dan kad lesen memandu dibawa ke Tanah Suci? Tidak perlu dibawa tetapi masih ramai jemaah yang alpa dan terlepas pandang mengenainya biarpun dinasihat serta dipesan oleh pengendali umrah.

Semua kad itu perlu ditinggalkan di tanah air sebelum berangkat. Kenapa ramai yang alpa kerana lazimnya, semua itu disimpan di dalam dompet yang dibawa ke sana sini sehingga menyebabkan pada hari terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci, dompet itu turut dibawa bersama-sama di dalam tas tangan.

Saya juga pernah terlupa menyerahkan dompet berisi segala pengenalan dan dokumen kepada anak dan hanya menyedari setelah selesai urusan imigresen. Lazimnya, sebelum masuk ke balai berlepas saya membuka tas tangan dan menyerahkan dompet yang sering dibawa kepada anak gadis dan memintanya simpan di rumah.

Namun, kesibukan menguruskan jemaah ketika daftar masuk di kaunter menyebabkan saya terlupa untuk menyerahkannya. Alhamdulillah, tidak pula berlaku kejadian tidak diingini sepanjang mengerjakan ibadat umrah.

Saya simpan rapi dompet saya di dalam lipatan pakaian dan tidak sekali-kali membawanya ketika ziarah di kota Makkah dan Madinah ataupun beribadat di Masjidil Haram bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kehilangan segala dokumen berkenaan.

Semua dokumen itu tidak penting dan tidak perlu dibawa ke luar negara kerana malang tidak berbau dan kecurian boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada ketika bersendirian mahupun dalam kumpulan.

Kecuaian dan kelalaian kita menyebabkan dompet berisi segala dokumen dan pengenalan diri boleh hilang sekelip mata tanpa kita sedari. Segala-galanya kadangkala boleh berlaku secara spontan sama ada ketika berbelanja, bersolat, hendak mengambil wuduk dan berziarah.

Justeru, awasi segala barang berharga dan sebaik-baiknya usah dibawa wang terlalu banyak di dalam saku atau dompet.

Tidak dinafikan ramai juga jemaah, terutama yang kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci bertanya mengenai wang dan keperluan yang dibawa.

“Sebaik-baiknya jangan bawa dompet yang sering kita bawa di tanah air,” ujar saya pada Halimah yang mahu berangkat mengerjakan umrah untuk kali pertama.

“Kenapa hajah?” tanya Halimah ingin tahu.

“Bimbang hilang segala pengenalan dan dokumen dalam dompet itu,” balas saya.

“Kad pengenalan dan kad kredit macam mana?” tanya beliau lagi.

“Itu pun jangan bawa. Tinggalkan saja di tanah air. Bukan perlu semua itu,” balas saya lagi.

“Jadi duit macam mana?” tanya Halimah lagi.

“Duit boleh dibawa. Tapi pandai-pandailah menyimpannya. Bawa dompet kain pun boleh. Senang hendak selitkan duit di dalam beg galas. Kad kredit tak perlu bawalah. Bukan semua kad kredit diterima di Tanah Suci. Jika awak ada kad debit al-Rajhi lebih baik atau kad ATM al-Rajhi pun elok juga. Senang nak keluarkan duit di sana.

“Bukan tak boleh bawa dompet yang seringkali kita guna di tanah air tetapi di dalamnya sudah tentu banyak pengenalan dan pelbagai macam kad. Jika hilang susah. Bukan boleh dapat semula. Balik tanah air, kena buat aduan pula,” pesan saya panjang lebar pada Halimah.

“Kad pengenalan pun memang tak perlu ke?” tanya Halimah lagi berulang.

“Tak perlu. Di luar negara, pasport kita dah cukup. Jadi kad pengenalan tinggalkan saja di tanah air,” balas saya pula.

“Baiklah hajah. Insha Allah. Faham saya. Terima kasih banyak hajah,” ujar Halimah.

Namun, kadangkala pesanan tinggal pesanan. Masih ada jemaah yang membawa segala kad dan dokumen ke Tanah Suci. Hanya setelah kehilangan dokumen barulah mereka menyesal dan teringat semula segala pesanan dan nasihat.

Bagaimanapun, sesal tidak berguna kerana nasi sudah menjadi bubur. Hendak menangis air mata darah sekalipun, segala yang hilang tidak kembali semula. Adakala kehilangan itu boleh mengundang kemurungan dan kesedihan kepada jemaah sekali gus menjejaskan kelancaran ibadat mereka sepanjang di Tanah Suci.

Saya pernah berhadapan dengan situasi seumpama ini ketika bertindak sebagai petugas haji dan umrah. Simpati pada jemaah tetap ada, terutama apabila melihat wajah mereka yang muram dan bersedih untuk beberapa hari.

Namun apakan daya, perkataan sabar saja yang terbit daripada bibir saya dan jemaah lain untuk menenangkan jemaah yang menjadi mangsa kecurian dan kehilangan dompet.

Ketika menunaikan ibadat haji pada tahun 2000, ada seorang jemaah berusia lingkungan lewat 60-an kehilangan wang RM1,000 di khemah di Mina. Ia berlaku kerana jemaah itu membawa duit berkenaan ke dalam tandas dan meletakkan di kain ketika hendak cangkung membuang air kecil.

Namun, jemaah itu terlupa sejurus bangun daripada cangkung, wang yang digulung dan diletakkan di kain itu terjatuh terus ke dalam lubang tandas dan tidak dapat diselamatkan. Itu akibat kecuaian dan kealapaan sendiri. Jemaah itu menangis tetapi ditenangkan oleh sebahagian besar jemaah lain.

Dia membawa duit sebanyak itu ke Mina kerana bimbang hendak meninggalkan wang di hotel penginapan di Makkah sepanjang empat hari di Mina.

Lain pula cerita seorang kawan saya yang pergi menunaikan umrah untuk kali kedua. Kali pertama ke Tanah Suci dia membawa dompet berisi segala kad dan dokumen. Namun, apabila kali kedua menunaikan umrah, saya nasihatkan agar tidak membawa semua kad dan dokumen pengenalan.

“Awak jangan bawa dompet yang dibawa hari-hari dan berisi semua dokumen dan kad,” pesan saya.

“Baiklah kak. Terima kasih. Insha Allah,” balas Hawa tersenyum.

Tidak lama selepas itu berangkatlah Hawa ke Tanah Suci bersama-sama seorang lagi rakannya sekeluarga.

Hari kedua Hawa di Madinah, saya menerima mesej daripadanya menerui telefon bimbit.

“Kak, saya hilang wang RM600 di depan Masjid Nabawi.”

Saya membalasnya dan bertanya: “Apa lagi yang hilang?”

“Kad pengenalan dan kad ATM.”

“Kenapa bawa juga?” balas saya.

“Hawa terlupa nak keluarkan di KL.” balas Hawa.

Sekembali ke Kuala Lumpur, dia masih kesedihan menceritakan mengenai kehilangan wang dan segala dokumen. Dia tidak sangka kejadian itu berlaku di perkarangan masjid.

“Macam mana boleh berlaku?” tanya saya ingin tahu.

“Entahlah dalam sekelip mata saja. Hawa tengah jalan-jalan dengan jemaah lain dan kami berbual-bual juga tetapi ketika menghampiri tanah perkuburan Baqi, Hawa tersedar beg galas yang diberi oleh agensi pengendali umrah terbuka. Hawa tak sedar langsung dan tak pula terasa masa bila dompet itu dikeluarkan,”cerita Hawa bersungguh.

“Sabarlah. Nak buat macam mana. Benda dah nak berlaku,” ujar saya.

“Tak dapat beli apa-apa kak. Ole-ole pun tak ada untuk kawan-kawan. Cuma sempat belikan untuk mak dan abah saja,”kata Hawa sedih.

“Dahlah, tandanya tiada rezeki. Alhamdulillah, awak sihat dan selamat di sana. Ada rezeki boleh pergi lagi nanti,” balas saya lagi.

Nantikan coretan saya minggu depan, insha Allah.

Tanah Suci, ATM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain