suria

Bukan Arahan Turki - TPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan penahanan tiga warga Turki minggu lepas, adalah atas arahan kerajaan negara berkenaan.

Beliau berkata penahanan tersebut dilakukan setelah menerima maklumat daripada Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) berhubung penglibatan mereka.

"Tiga warga Turki terbabit merupakan anggota pertubuhan yang telah diwartakan haram di negara mereka, dan penahanan mereka tidak dibuat atas arahan daripada mana-mana pihak.

"Jika badan hak asasi manusia ingin membantu mereka, boleh berhubung terus dengan kerajaan Turki," katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Kenangan Persatuan Pegawai Kanan Polis Pencen Malaysia (RESPA) 2017 di sini malam Selasa.

Pada Isnin, sebuah portal tempatan melaporkan Stockholm Centre of Freedom (SCF) mendakwa kononnya Malaysia menjalankan ''kerja-kerja kotor'' Presiden Turki, Reccep Erdogan ekoran tindakan mengusir tiga rakyat Turki dari Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, beliau berkata pihak berkuasa masih belum menemui sebarang bukti berhubung dakwaan berkenaan.

"Kita sudah membuat pemeriksaan tetapi setakat ini belum jumpa lagi apa-apa yang boleh dikaitkan, jadi tiada bukti laporan itu tepat," katanya.

Pada Isnin dilaporkan seorang pekerja ladang berusia 52 tahun membuat laporan polis selepas terserempak lima lelaki bersenjata di ladang Sawit Blok 8, Felda Sahabat 2, Cenderawasih dekat Lahad Datu ketika membersihkan kebun sawit.

Lima lelaki bersenjata itu juga dikatakan sempat memberitahu pekerja ladang tersebut bahawa 37 orang telah mendarat di pantai dan tujuan mereka datang adalah untuk menyelamatkan penduduk di Sabah. -Bernama

kerajaan Turki, CMC, Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Lain