PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai salah seorang orang tengah yang terlibat dalam 'perkhidmatan perlindungan' yang diberikan beberapa pegawai kanan polis di Melaka telah direman. Dia akan disiasat di bawah tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama enam hari bagi membantu siasatan. Majistret Nadia Othman membenarkan lelaki itu direman sehingga 24 Mei ini. Dia merupakan suspek ke-11 yang ditahan bagi membantu siasatan dakwaan penglibatan pegawai kanan polis yang memberi perlindungan kepada pengusaha pusat judi dan rumah urut di Melaka. Antara yang ditahan adalah dua Ketua Polis Daerah (OCPD) dari Melaka Tengah dan Jasin masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintenden, dua pegawai berpangkat Asisten Superintenden dan dua Inspektor seorang Koperal. Dua orang tengah dan pengendali pusat judi yang beroperasi secara haram turut disiasat SPRM.