suria

Polis Dedah Nama Suspek

PETALING JAYA: Polis mendedahkan nama suspek yang melarikan diri daripada sebuah kereta polis di USJ Taipan ialah Wan Mokhta Zaimin (gambar) dan berusia 32 tahun.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Wan Mokhta sedang disiasat berhubung kes pecah amanah dan ditahan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek melarikan diri daripada tahanan polis di kawasan USJ9 dengan tangannya masih digari.

"Suspek memakai baju kemeja polo biru  dan kain sarung hijau," katanya.

Dua detektif telah membawa suspek dengan menaiki Proton Preve dari Kelantan dan tiba di Taipan pada Jumaat malam.

Mereka sepatutnya tiba di ibu pejabat polis di USJ 9 yang terletak hanya 2 kilometer (km) dari Taipan.

Tetapi detektif mengambil keputusan untuk berhenti di farmasi di Taipan selepas suspek mengadu sakit.

Seorang detektif keluar untuk ke farmasi untuk membeli ubat dan seorang lagi keluar ke but kereta untuk mengambil sesuatu.

Kemudian, suspek melompat ke tempat duduk pemandu dan memandu kereta untuk melarikan diri.

Kereta itu ditemui ditinggalkan kira-kira 3km dari lokasi kejadian.

Alamat terakhir Wan Mokhta adalah di Kampung Tini, Kota Baru, Kelantan.

Mohammad Azlin menggesa orang ramai supaya menghubungi polis dengan segera sekiranya mereka mengetahui maklumat mengenai suspek.

"Orang ramai yang telah melihat orang ini segera hubungi polis di talian 03 7862 7100, atau ke balai polis berdekatan," katanya.

Taipan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain