suria

Santai Baca Al-Quran Di Taman

Program #QuranHour diadakan di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjong Chat. - Sinar Harian

KOTA BHARU: Alunan al-Quran yang dibacakan di tengah-tengah aktiviti Kelantan #QuranHour secara beramai-ramai mampu mencuri hati pengunjung Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjong Chat.

Program dimulakan dengan bacaan kitab suci al-Quran selama 15 minit yang diketuai oleh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Kuala Krai Ahmad Arif Haniff Johari, 15.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, program yang julung kali diadakan di peringkat negeri ini mendapat sambutan yang luar biasa kerana pada peringkat awal dia hanya mesasarkan kehadiran 500 orang sahaja.

"Alhamdulillah kehadiran pengunjung kira-kira 1,200 mencapai matlamat yang menggalakkan umat Islam lebih mengenali dan mendekati al- Quran.

"Ada yang datang bersama keluarga, bawa anak-anak, ada yang hadir bersama rakan sekolah, rakan sepejabat, orang kurang upaya (OKU), malah bukan muslim pun turut hadir," katanya selepas merasmikan Program Kelantan #QuranHour dengan tema 'Ore Kelate, Berbudi dan Penyayang', di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Datuk Mejar (B) Adnan Hashim dan Pengurus Sinar Harian Cawangan Kelantan, Surena Md Noor.

Menariknya pada program kali ini, ia diadakan secara santai di taman rekreasi itu, ada yang turut sama menyertai Kelantan #QuranHour semasa berjogging dan beriadah bersama ahli keluarga dan rakan.

Kata Marhaini, program itu sesuai dengan tema 'Berbudi dan Penyayang' dalam usaha melahirkan umat yang dapat membaca, faham dan amal al-Quran, bertepatan untuk persediaan menyambut Ramadan pada minggu hadapan.

"Program ini dianjurkan oleh Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan dan mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK).

"Menerusi program ini, kita boleh melahirkan umat Islam yang baik dan ia akan diterjemahkan dalam akhlaknya, sekali gus akan membuka mata orang bukan Islam bahawa Islam agama yang indah," katanya. - Sinar Harian

baca al-Quran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Dedah Nama Suspek

Artikel Lain