ALOR SETAR: Masyarakat disaran agar menguruskan sisa pepejal sendiri mengikut kaedah yang betul, misalnya dengan menanam sampah, terutamanya ketika menjelang bulan Ramadan ini, berikutan jumlah sisa pepejal di Kedah dijangka meningkat 22 peratus atau 1,485 tan sehari berbanding 1,216 tan daripada kebiasaannya. Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah Hazahar Hashim berkata ini kerana masyarakat ketika ini tidak boleh terlalu bergantung kepada tapak pelupusan sedia ada yang semakin kritikal dan hanya bertahan tiga hingga 10 tahun lagi. "Jangkaan penjanaan sisa pepejal ini berdasarkan pertumbuhan peniaga dan penjaja baharu, pakej berbuka puasa oleh pengusaha hotel dan restoran, program iftar ramadan dan kepulangan anggota keluarga ke kampung halaman bersempena cuti sekolah. "Akibat itu, tujuh pusat pelupusan sampah di negeri ini yang berada di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menerima jumlah sisa pepejal yang luar biasa dan sekaligus memendekkan jangka hayat pusat pelupusan, " katanya. Beliau berkata, pusat pelupusan sampah (PPS) di Jabi, Pokok Sena, dijangka mencatatkan jumlah tertinggi penerimaan sampah dengan 367 tan (35 peratus) berbanding 271 tan sehari, disusuli PPS Kampung Tok Sedau, Pendang dengan 58 tan (32 peratus) berbanding 44 tan, PPS Paya Kemunting, Jitra dengan 175 tan (29 peratus) berbanding 135 tan sehari pada hari biasa. Hazahar berkata, turut menjana peningkatan ialah PPS Padang Cina di Kulim dengan 213 tan (27 peratus) berbanding 168 tan, PPS Pulai, Baling sebanyak 87 tan (23 peratus) berbanding 71 tan, PPS di Belanga Pecah, Langkawi 194 tan (15 peratus) berbanding 168 tan dan PPS Semeling, Sungai Petani 392 tan (9 peratus) berbanding 359 tan sehari pada hari biasa. Katanya, jumlah itu akan bertambah apabila memasuki hari ke-15 Ramadan kerana suri rumah mula menukar dan membuang peralatan dan perabot lama serta tidak lagi menyediakan sendiri juadah dan lebih banyak membeli menyebabkan banyak makanan dibuang. Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar PBT dan kerajaan negeri memberi kebenaran kepada SWCorp dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk membantu kerja operasi di tapak pelupusan tersebut. Katanya PPS boleh dipanjangkan usianya jika kena pada cara pengurusan dan operasi dilaksanakan dengan kaedah yang betul dan baik dan jika SWCorp diberi kebenaran untuk mengambil alih pengurusan PPS, kerajaan negeri mampu menjimatkan kos kerana kos operasi ditanggung oleh SWCorp dan JPSPN. "Sebagai contoh, PPS di Belanga Pecah, Langkawi antara tapak pelupusan yang kritikal dan dalam proses penutupan pada akhir tahun ini sebelum penggunaan teknologi insinerator yang menelan kos yang tinggi. "Amat rugi untuk mencari dan menggunakan tapak tanah yang baharu kerana kos yang tinggi diperlukan dan ia merupakan satu pembaziran dan mengakibatkan kemusnahan alam," katanya. - BERNAMA