suria

Tiga Lelaki Terlibat JJPTR Bebas Dengan Jaminan Polis

Foto: ZHAFARAN NASIB/The Star

BUKIT MERTAJAM: Tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penipuan sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) termasuk dalangnya dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Ahad.

Majistret Dianne Ningrad  Nor Azahar membenarkan kesemua lelaki yang berusia 28 hingga 29 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu peguam G. Jaya Prem yang mewakili ketiga-tiga lelaki itu berkata pihaknya memohon mahkamah menolak permohonan reman terhadap anak guamnya atas alasan mereka telah direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Klang sebelum ini dan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dilakukan.

Pada 12 Mei lalu, satu serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan polis Pulau Pinang bersama pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Cyber Security Malaysia di lapan lokasi berbeza di sekitar Pulau Pinang.

Kesemua lapan lokasi tersebut yang terdiri daripada beberapa pejabat dan unit kediaman, dipercayai digunakan sebagai pejabat operasi sindiket itu.

Seramai 19 individu terdiri daripada 15 pekerja dan empat pelabur berusia dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun ditahan.

Turut dirampas tujuh unit komputer serta komputer riba, mesin pengira wang, ratusan dokumen syarikat JJPTR, televisyen, perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai RM3,300.

Sindiket itu dipercayai  telah mengaut keuntungan RM1.7 bilion hasil wang yang  dilaburkan mangsa.-Bernama

JJPTR, bebas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain