SEKALI pandang memang sukar untuk mengagak gambar apakah ini. Tetapi, bila diamati betul-betul, mungkin ada yang dapat menekanya dengan betul. Ini sebenarnya adalah gambar sebuah gelanggang futsal di Nabawan, satu daerah yang kurang popular di Sabah. Gambar yang diambil menggunakan dron ini telah dihantar oleh seorang guru dari SK Logongon kepada Facebook Harimau Malaya. "Sekolah ini terletak di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat bandar. "Ini merupakan gambar gelanggang futsal di sekolah tersebut di mana terdapat pokok-pokok menjalar di tepi pagar dan dikeliling rumput yang menghijau," menurut posting di laman Facebook Harimau Malaya. Gelanggang tersebut memang sengaja dibiarkan seperti itu untuk mengelakkan panas matahari dan membekalkan udara segar. "Berada disini seolah-olah kita berada dalam dunia fantasi dikeliling pokok yang cantik dan tumbuhan yang menghijau macam filem Magika," katanya. Guru itu turut menceritakan bahawa untuk ke sini, beliau perlu melalui jalan balak selama dua jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan perlu mengharungi sungai selama satu jam. "Dari sekolah untuk sampai ke padang futsal ini, orang kampung atau murid-murid perlu berjalan kaki melalui jalan berbukit selama 15 minit," katanya.