suria

Jamal Nekad

Datuk Seri Jamal Md Yunos

SEKINCHAN: Barisan Nasional (BN) bertekad menguasai dan memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, yang kini kubu DAP, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN kawasan Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata  pihaknya telah menggerakkan langkah menghadapi PRU14 terutama di DUN Sekinchan yang menyaksikan BN kehilangan kerusi itu sejak tiga penggal lepas.

"Sebagai persiapan awal, pembukaan bilik gerakan peringkat cawangan di DUN Sekinchan dilancarkan untuk menghadapi PRU-14.

"Meskipun kita tak tahu bila tarikh pilihan raya, tetapi kami terutamanya di DUN Sekinchan akan membuka bilik gerakan lebih awal. DUN Sekinchan juga menjadi DUN pertama yang menggerakkan jentera," katanya ketika melancarkan Jentera BN DUN Sekinchan bagi PRU14 di Sekinchan di sini, malam Ahad.

Jamal yang juga Ketua Bahagian Umno Sungai Besar berkata untuk menebus kekalahan di DUN Sekinchan, MCA perlu mengembalikan sokongan pengundi Cina di kawasan itu yang dianggar seramai 10,000.

Kerusi DUN Sekinchan kini disandang Ng Suee Lim daripada DAP.

Sementara itu, Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, ketika berucap pada majlis itu berkata BN telah pun mengotakan janji yang dibuat ketika pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar Jun tahun lepas untuk menaik taraf pasar awam Sekinchan demi keselesaan peniaga. -Bernama

Jamal Md Yunos, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain