suria

Tua Dan Tidak Diperlukan

Pengasas Pusat Jagaan Warga Emas Tong Sim, Cheong Loy memeriksa salah seorang penghuni yang terlantar sakit.

KUALA LUMPUR: Sekali pandang, kebanyakan mereka nampak seperti sedang 'menunggu hari'.

Bagi yang 'normal', wajah mereka nampak sedih, manakala yang sedang sakit, mereka hanya mampu merenung siling.

Mereka ini adalah warga emas yang dipinggirkan dan sudah tidak diingini.

Kebanyakan mereka dihantar ke sini selepas dibenarkan keluar dari hospital, tetapi ahli keluarga mereka tidak mahu membawa mereka pulang.

Sebahagian besar daripada 50 penghuni di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Kampung Pulau Meranti, Puchong hanya mampu terlantar di katil.

Mereka menghidap penyakit-penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, masalah jantung, demensia dan Alzheimer.

Seramai 16 penjaga bertugas menjaga mereka dengan memberi makan dan memandikan mereka.

Bekas pemandu lori Abu Abdul Talib, 52, tidak dapat menggunakan kaki kanannya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Singapura kira-kira empat tahun lalu.

Dia dihantar ke sini dari Hospital Kuala Lumpur kerana keluarganya di Teluk Intan, Perak, tidak dapat menjaganya.

Abu nampak sedih apabila bercakap tentang keluarganya, yang jarang-jarang melawat dirinya.

"Saya ada empat orang anak, tiga masih bersekolah dan seorang lagi sudah bekerja. Isteri saya bekerja sebagai pengasuh untuk menyara keluarga," kata Abu.

Aladib Abdullah, 74, dari George Town, Pulau Pinang, turut sedih ketika ditemubual.

Hubungannya dengan bekas isteri tidak baik, manakala anak-anak melawatnya secara bergilir-gilir.

"Tak banyak yang saya ingat. Banyak perkara yang saya lupa. Saya rindukan kawan-kawan saya. Tolonglah datang melawat saya.

"Kami menderita bukan sebab tak cukup makan atau minum. Ada sesuatu yang kami tidak dapat dalam kehidupan ini," kata bekas pekerja di sebuah syarikat akhbar berbahasa Inggeris ini.

Di Pusat Penjagaan Warga Emas Tong Sim, situasinya agak berbeza apabila lebih ramai penghuninya mampu menguruskan diri mereka sendiri.

Bekas penjual daging Hoo Chin Chan, 78, telah tinggal di pusat itu yang terletak di Jalan Dewan Bahasa selama 11 tahun. Ketika itu dia baru dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan UKM.

Dia dimasukkan ke hospital kira-kira tiga bulan selepas pembedahan kaki dan kini bergantung kepada tongkat untuk bergerak.

Chin Chan masih pergi ke hospital untuk pemeriksaan tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol. Dia mempunyai adik-beradik lain tetapi tidak berminat untuk bercakap tentang mereka.

"Nak tanya apa lagi?," katanya ketika ditanya lebih lanjut mengenai sejarah keluarganya.

Dia hanya mahu bercakap tentang kehidupannya di pusat itu.

"Tak apa-apa nak mengadu. Kami diberi makan tiga kali sehari dan mereka yang sihat boleh keluar beli makanan sendiri," katanya.

Petugas sukarela akan membawa penghuni makan di restoran pada hari lahir mereka.

Pusat itu juga mengupah seorang pemandu untuk membawa penghuni ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan mereka diberikan RM50 setiap bulan sebagai wang saku.

Pengamal perubatan Cina secara sukarela juga akan bergilir-gilir memeriksa penghuni setiap minggu.

"Lebih baik dari tinggal di hospital," kata Ng Thiam Hock, 59, yang tinggal Pusat Jagaan Orang Tua Tong Sim di Kampung Baru Salak Selatan.

Selepas sembuh daripada batuk kering pada 2015, Thiam Hock telah dihantar ke rumah orang tua di Seremban dari Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke situ.

"Saya ada empat orang adik beradik tetapi mereka ada keluarga mereka sendiri, jadi saya tak mahu mengganggu mereka," katanya yang pernah menjadi pekerja binaan.

"Lebih baik apabila saya bekerja dan hidup bersendirian. Hubungan kami di sini menjadi rapat walaupun baru tinggal di sini.

"Kami memasak dan saling membantu. Sukarelawan membantu melakukan kerja-kerja yang lebih sukar seperti membersihkan tingkap dan menukar langsir," katanya.

warga emas, pusat jagaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain