KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH127 yang sedang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di (KLIA) Sepang menuju ke Perth, Australia tidak meneruskan penerbangan kerana sebuah tayar pesawat itu disyaki pecah. MAS dalam satu kenyataan di dalam Facebook dan Twitternya berkata bagi menjaga keselamatan penumpang, kapten penerbangan membuat keputusan untuk tidak terus berlepas. Oleh itu MH127 akan beroperasi sebagai MH127D dan berlepas dari KLIA pada pukul 7 pagi 22 Mei dan dijangka tiba di Perth pada pukul 12.50 tengah hari pada hari yang sama. Penerbangan balik, MH126 akan beroperasi sebagai MH126D berlepas dari Perth pada pukul 1.30 tengah hari pada 22 Mei dan tiba di KLIA pada pukul 7.20 malam hari yang sama. Penumpang yang terlibat telah diberikan penginapan. "Keselamatan adalah keutamaan nombor satu Malaysia Airlines sepanjang waktu dan kami kesal dengan ketidakselesaan yang terpaksa diharungi penumpang. "Syarikat penerbangan akan menyiasat insiden yang berlaku pada pesawat Boeing 738 itu," kata kenyataan itu. -Bernama