PETALING JAYA: Lampu-lampu di Manchester Arena dinyalakan sedikit demi sedikit apabila Ariana Grande menutup konsertnya dengan lagu Dangerous Woman. Ketika itu pelajar tahun akhir jurusan seni bina, Tan Zhi Jie, 22, sudah bersedia untuk meninggalkan lokasi. Tiba-tiba, satu letupan kuat kedengaran, hanya selang dua blok kerusi dari tempat duduk Zhi Jie, yang merupakan pelajar di University of Manchester. "Kami semua tak tahu apa-apa, tak tahu apa yang berlaku. "Tempat duduk saya di bulatan atas dan saya nampak ramai orang, terutamanya kanak-kanak, menjerit dan menangis. Kemudian, yang saya tahu, situasi menjadi huru-hara dan saya terpaksa mencari pintu keluar," katanya kepada The Star. Ketika mencari jalan keluar, Zhi Jie terpaksa berasak-asak dengan ramai orang yang panik untuk keluar dari tempat itu. Dia dapat melihat penonton yang cedera dan berdarah, selain kereta polis dan ambulans. "Saya melihat seorang wanita, dia merayu bantuan kepada anggota polis dan polis tidak pasti apa yang perlu dilakukan. "Ramai orang menjerit, menangis, berlari dan ada yang berdarah. "Ada juga yang berehat dekat kereta polis," kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang pergi ke konsert itu sendirian. Apabila berada di tempat terbuka, dia terus berjalan selama kira-kira setengah jam sebelum menaiki bas pulang ke universiti. "Saya berasa sedih untuk semua mangsa," katanya. Telefon bimbitnya berbunyi tanpa henti kerana ramai yang menghantar mesej dan banyak panggilan tidak dijawab. Semua yang menghubungi mahu tahu tentang keadaannya di sana. Dia bagaimanapun telah menghubungi bapanya melalui panggilan video untuk memberitahu dirinya selamat. "Konsert sepatutnya menjadi tempat yang riang dan menyeronokkan. Kami membeli tiket semata-mata mahu melihat artis kegemaran kami. "Kami menyanyi, menari dan menikmati setiap detik, tetapi apa yang berlaku selepas itu adalah sesuatu yang menyayat hati dan mendatangkan trauma. "Sebenarnya ini adalah masa yang paling dahsyat dalam hidup saya, dan saya masih tidak percaya konsert itu yang saya memang teruja untuk pergi akan berakhir seperti itu. "Saya sangat bertuah. Saya harap mereka yang kehilangan nyawa tenang di sana," katanya. Letupan dahsyat itu yang berlaku di ruang legar di luar Manchester Arena pada pukul 10.30 malam Isnin (5.30 pagi Selasa, waktu Malaysia), membunuh 22 orang dan mencederakan 59 yang lain. Polis Britain telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang berhubung kes ini, dipercayai serangan bom bunuh diri. Negara Islam mengaku bertanggungjawab. Lima pelajar Malaysia yang lain berjaya meninggalkan lokasi konsert dengan selamat, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Britain. Terdapat 1,303 pelajar Malaysia di Manchester; 1,081 di University of Manchester, 129 di Manchester Metropolitan University dan 93 di University of Salford.