suria

Tak Terbayang Senyum Penumpang Misteri Dalam Pesawat

Gambar Hiasan

BARU-BARU ini, tular di dalam media sosial perihal seorang pemandu Uber yang diganggu oleh entiti tidak diketahui.

Mengikut cerita, pemandu tersebut dalam perjalanan pulang ke setelah menghantar pelanggan yang terakhir untuk hari itu. Dan kebetulan waktu itu baru melepasi tengah malam.

Tiba-tiba pemandu tersebut mendapat notifikasi permintaan seorang pelanggan. Memikirkan dia juga dalam perjalanan pulang, apa salahnya mengambil seorang lagi pelanggan.

Akhirnya, pemandu tersebut terarah ke kawasan perkuburan setelah mengikuti arahan ke lokasi pelanggan terbabit.

Bukan sekali kita mendengar atau membaca kisah-kisah entiti ini yang menganggu pemandu, baik kereta, motosikal, bas atau lori.

Pelbagai cerita baik dari yang meluncur di hadapan cermin kereta, melayang di sebelah pemandu motorsikal, berdiri di atas kenderaan dan macam-macam lagi.

Malahan, sebelum kisah pemandu Uber ini menular, ada kisah seorang memandu yang terserempak dengan satu entiti di tengah jalan.

Kadang-kadang bukan semuanya benar-benar entiti. Ada juga kes yang perlakuan ini adalah insiden jenayah. Ia dilakukan dengan tujuan untuk merompak mangsa.

Semasa awal perkenalan aku dengan pekerjaan yang melibatkan kapal terbang secara langsung ini, tidak pernah terlintas pun di dalam fikiran mengenai isu ini.

Selalunya yang sering dihadapi adalah gangguan di tempat kerja. Seperti di dalam pejabat, di tandas dan kadang-kadang di surau.

Surau? Surau pun ada? Sudah tentulah ada. Lebih-lebih kalau kau sengaja tidur di dalamnya berlama-lama. Orang pergi surau untuk sembahyang, kau buat tempat tidur. Memang kenalah!

Kau pernah menonton filem seram Thailand, Dark Flight? Filem ini pada aku mulanya sukar untuk dihadam. Sebabnya pertama, ia lebih kepada ngeri dari seram. Kedua,sebab ia mengenai gangguan hantu di dalam kapal terbang.

Kapal terbang bhai! Susah aku nak bayang ada hantu dalam pesawat udara. Tapi itu dulu. Sebelum aku tahu sebarang kejadian. Setelah lama sebegini, memang tidak dinafikan, kadang-kadang memang ada.

Ada yang pernah nampak semacam orang di tempat duduk dalam gelap, walhal waktu itu kapal terbang tersebut di dalam hangar untuk penyelenggaraan. Mungkin mekanik yang duduk? Entahlah.

Ada juga kes, pintu kapal terbang tertutup sendiri sewaktu sedang melakukan ujian sistem. Lebih aneh, ujian tersebut tidak melibatkan pintu. Dan lebih aneh hanya dua orang sahaja di dalam kapal, dan dua-dua di dalam kokpit.

Bertambah aneh, hendak menutup pintu kapal terbang, ia perlu dilakukan secara manual. Maknanya, orang yang hendak menutup pintu tersebut perlu berada di pintu itu. Dan, ia berlaku berulang kali.

“Dulu aku pun tak percaya,” kata juruterbang tersebut. “tapi apabila dah terkena sekali, terdiam terus aku,” sambungnya sewaktu kami gatal-gatal bercerita mengenai kawan seram ini.

Dia menghela nafas, dan menyambung cerita sambil aku khusyuk mendengar.

Waktu itu penumpang tidak ramai. Malahan hari itu kiranya, segalanya lancar. Tidak ada sebarang insiden. Cuaca pun elok. Hati pun tidak ada gundah gulana. Boleh dikatakan hari itu, antara hari yang terbaik.

Malam itu, dia bertugas untuk penerbangan awal pagi. Sekitar jam 2 pagi. Semua persiapan berjalan dengan baik. Ujian sebelum terbang juga tidak menunjukkan sebarang masalah.Tidak ada kru yang sakit. Semua gembira bertugas seperti biasa.

Sehinggalah saat penerbangan, juruterbang itu memberitahu melalui sistem audio supaya penumpang bersedia.

Kebetulan, ada pramugari yang agak baru bertugas bersamanya pada malam itu. Pramugari itu ditugaskan untuk membuat kiraan pelanggan sama ada cukup atau tidak, menggunakan alat pengira yang seakan pengira tasbih digital.

Selesai kira, pramugari tersebut hairan. Ada lebihan tiga penumpang. Lalu dia melakukan kiraan lagi sekali, dan mendapat keputusan yang sama.

Tidak berpuas hati, dia lakukan lagi sehingga empat kali, dan masih mendapat keputusan yang sama, lebih tiga penumpang.

“Aku masa tu memang dah sedia untuk berlepas, pramugari tadi datang beritahu aku, ada tiga orang penumpang lebih,” kata juruterbang itu. Mana boleh jadi macam itu? Memang tak logik.

Tidak berpuas hati, juruterbang itu mengambil alat pengira tersebut dan membuat kiraan sendiri. Katanya, lima kali dia membuat kiraan dan dapat jawapan adalah sama. Ada tiga lebihan penumpang.

“Aku kaget, pelik, hairan dan macam-macam lagilah perasaan ada sehingga aku terpandang seseorang dan dia senyum pada aku.

“Kemudian pramugari tadi tegur aku, macam mana?

“Dia orang nak tumpang, biarlah dia orang nak tumpang!” kata juruterbang sambil menyerahkan alat pengira kepada krunya semula.

“Dan yang paling pelik kau tahu apa?” tanya juruterbang itu.

“Apa?” soal aku semula.

“Lepas mendarat aku tak ingat dah muka yang senyum kat aku sebelum tu.”

Aku menyandar ke kerusi selepas mendengar cerita dia. Ia sekadar cerita yang seronok di dengar seperti yang lainnya. Lebih pada itu, terpulang pada diri masing-masing.

Oleh itu, jika kau di dalam kapal terbang, dan penumpang di sebelah kau ada sedikit aneh, mungkin 'dia' itulah yang nak menumpang.




Uber, Dark Flight

Artikel Sebelum

Artikel Lain