KOTA TINGGI: Nelayan bot asing dipercayai mengadakan transaksi di tengah laut yang membolehkan mereka hidup berbulan-bulan lamanya sehingga berupaya menceroboh perairan negara sekali gus mengaut keuntungan daripada hasil laut negara. Ketua Operasi Penguatkuasaan Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Malaysia Osman Mohamed berkata pihaknya percaya kebanyakan nelayan asing yang terdiri daripada warga Vietnam itu, melalui laluan dari pantai timur dan bergerak sehingga ke selatan iaitu perairan di Johor dan Pahang, yang kaya dengan hasil laut. "Mereka ada di laut selama tiga hingga empat bulan. Kita percaya mereka ada transaksi di laut, ada kapal induk yang datang mengambil hasil (serta bekalan) ke sini, (selepas itu, kesemua hasil) dihantar ke Thailand. "Sebab itu mereka (nelayan asing ini) tidak balik, mereka akan dapat bekalan dan mereka akan kekal di sini (berdekatan perairan kita) dan mereka akan sembunyi jika nampak penguat kuasa," katanya kepada pemberita di Pangkalan Kecil Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia di Tanjung Sedili, dekat sini, Rabu. Menurut Osman, tindakan nelayan asing yang berani menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan tempatan tetapi juga dipercayai boleh menjadi punca kerosakan terumbu karang kerana jauh memasuki kawasan yang tidak dibenarkan untuk laut dalam. Ini memandangkan Jabatan Perikanan turut menerima laporan daripada nelayan tempatan bahawa nelayan asing ini turut menceroboh perairan negara sehampir enam batu nautika dari pantai, meskipun mereka ini kebanyakannya nelayan laut dalam serta menggunakan pukat yang tidak dibenarkan dalam negara. "Kawasan permainan mereka ini bermula enam batu sehingga hampir 40 batu nautika dari pantai. Macam contoh kes kita tangkap ini, mereka menggunakan tunda tangguk yang mana kita tiada beri lesen di Malaysia. Tujuannya untuk mengambil gamat yang berada di dasar laut dan berhampiran Taman Laut," katanya. Semalam, seramai 22 nelayan asing warga Vietnam ditahan serta tiga bot dan hasil tangkapan laut bernilai RM5 juta turut dirampas. Osman berkata dua bot asing tersebut ditahan masing-masing di kedudukan 43 batu nautika dan 12.8 batu nautika dari Tanjung Sedili Besar pada 7.30 pagi dan 8.15 pagi sementara satu bot tempatan ditahan di kedudukan 9.2 batu nautika dari Pulau Berhala, Nanasi, Pahang, pada pukul 10.30 pagi. Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 45 tahun, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk dipohon reman selama seminggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan. Sepanjang tahun ini, Jabatan Perikanan telah menahan lima bot asing yang mencerobohi perairan negara bagi tujuan menangkap hasil laut.-- Bernama