suria

Everest: Pendaki Tertua Malaysia Batal Pendakian

KUALA LUMPUR: Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng yang dimasukkan ke sebuah hospital di Kathmandu, Nepal, setelah mengalami sakit dada yang teruk pada Sabtu lepas, sekali lagi terpaksa membatalkan pendakiannya ke puncak Everest.

Pegawai Perhubungan Awam Lions Mount Everest Expedition (MEE), Sherine Leong berkata Chong Meng, 69, tidak dapat meneruskan misi untuk menakluk puncak Everest berikutan melebihi tempoh ditetapkan.

"Saya telah cuba mendapatkan perkembangan mengenai kesihatan Lee hari ini namun gagal menghubungi mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Leong berkata beliau difahamkan Lee masih berada di hospital dan akan dibawa pulang ke tanah air dalam masa beberapa hari lagi.

Sabtu lepas, Chong Meng sepatutnya mendaki ke Camp 3 dan seterusnya ke kemuncak gunung tertinggi dunia itu dari Camp 4 namun mula mengalami sakit dada dan kesukaran bernafas ketika berada di Camp 2 pada Khamis sebelum diterbangkan dengan helikopter ke sebuah hospital di Kathmandu, Nepal.

Dalam percubaannya untuk mendaki Gunung Everest pada Mei tahun lepas, Chong Meng terpaksa membatalkan pendakian itu pada peringkat akhir di Camp 3 pada ketinggian 7,200m, berikutan cuaca buruk. Gunung Everest adalah gunung tertinggi dunia, dengan ketinggian 8,848m.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah rakan media misi berkenaan, yang dikenali sebagai Ekspedisi Gunung Everest (MEE) Lion 2017, anjuran Lions Club Port Dickson Pantai.

Chong Meng membawa dua mesej penting iaitu untuk memberi inspirasi kepada masyarakat di setiap peringkat umur supaya memanfaatkan kesihatan yang baik untuk terus aktif, dan menarik perhatian terhadap perlunya memelihara alam sekitar.-- Bernama


Lee Chong Meng, Everest

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan