suria

Mangsa Hilang Makan Katak Untuk Terus Hidup

JULAU: Seorang warga emas yang hilang sejak Jumaat lalu selepas masuk ke hutan untuk berburu di Jikang di sini, dijumpai kira-kira 11.45 pagi Khamis.

Tan Rarong, 69, yang ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan lemah, dikatakan telah menjadikan katak dan pucuk daun 'sabung' iaitu sejenis daun pokok hutan yang sering dijadikan sayur oleh masyarakat Iban, untuk terus hidup.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin ketika dihubungi, berkata mangsa hanya dapat dibawa keluar dari hutan itu kira-kira 3.35 petang dan kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Julau untuk menerima rawatan.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat sukar kerana tiada petunjuk dan tiada siapa yang tahu lokasi terakhir mangsa.

Tiga belas anggota Bomba dan Penyelamat Bintangor, 13 penduduk kampung, lima anggota polis dan tiga anggota unit K9 menyertai operasi mencari dan menyelamat tersebut.

Pada pagi Jumaat lalu, Tan yang berasal dari Rumah Berenai, Km 25.8 Jalan Kelupu-Julau-Durin, memberitahu isterinya Ngala Chendai, 67, yang dia hendak ke kebun lada mereka yang terletak 10 minit perjalanan dari rumah panjang mereka sebelum berburu di hutan berdekatan.

Ngala yang risau apabila suaminya belum pulang sedangkan hari sudah malam, keluar mencari suaminya bersama seorang jiran di kebun lada mereka.

Bagaimanapun, kelibat suaminya tidak kelihatan meskipun hari semakin gelap sekitar 7 petang.

Selepas empat jam berada di kebun itu, Ngala mengambil keputusan untuk melaporkan kehilangan suaminya. - Bernama

Artikel Sebelum

MRR2 Dilanda Banjir Kilat

Artikel Berikut

Artikel Lain