KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Sabtu. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkannya berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Sabtu, 27 Mei 2017, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam Jumaat. Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini (Jumaat bersamaan 29 Syaaban 1438 Hijrah). Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab. - Bernama