suria

Kempen Derma Buku: KSP Fokus Rumah Anak-Anak Yatim

Ismail (dua kanan) menyerahkan buku kepada wakil salah sebuah rumah anak yatim pada majlis pelancaran kempen Jom Derma Buku, Khamis lalu. Turut kelihatan (dr kiri), Mohd Zaffwan Ab Ghafar Pengarah Negeri WPKL Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia), Dr Zamri dan Ibrahim.

PETALING JAYA: Kempen 'Jom Derma Buku'  yang dianjurkan Kelab Sahabat Persaudaraan (KSP) merupakan satu inisiatif yang memfokuskan keperluan buku di rumah anak-anak yatim di seluruh negara.

Kempen derma buku yang dianggap unik ini dicetuskan oleh Ahli-ahli Kehormat KSP yang diselaras bersama pengasas kelab tersebut, Dr. Zamri Noordin.

Menurut Dr. Zamri, program ini akan dijayakan dengan penglibatan pemimpin-pemimpin masyarakat di setiap parlimen dan beliau berkeyakinan kempen ini akan dapat menambah nilai kasih sayang antara sesama Rakyat 1 Malaysia justeru selari dengan usaha KSP untuk menterjemahkan 'Kesyukuran Teras Kesepakatan'.

Kempen ini dilaksanakan melalui Biro Pendidikan KSP dan mereka akan berganding bahu memikul tugasan ini dengan sepenuh tanggungjawab.

Sementara itu Pengarah Projek merangkap Ketua Biro Pendidikan KSP , Hanni Afrah Hassan memberitahu buku-buku hasil sumbangan dari orang ramai ini akan turut diedarkan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan sekiranya bahan bacaan tersebut menepati permintaan mereka.

Hanni Afrah

Kempen ini juga diharap akan dapat mengembalikan minat membaca di kalangan masyarakat Malaysia khususnya golongan remaja.

"Kami bersyukur kempen ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pengeluar buku-buku pendidikan untuk turut sama membantu menyediakan buku-buku atau bahan bacaan mengikut permintaan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan".

"Biro Pendidikan akan mengumpul permintaan dan keperluan buku di rumah anak-anak yatim dan golongan pelajar yang tidak berkemampuan untuk diketengahkan kepada masyarakat Malaysia bagi mendapatkan tajaan dan sumbangan dan usaha ini akan dilakukan dalam tempoh lapan bulan".

"Dan sebab itulah juga kami ingin menyeru semua pihak tampil bersama-sama menyumbang seberapa banyak buku dalam pelancaran kempen ini. Pada kami 1Buku Sejuta Harapan," ujarnya yang telah mula melancarkan kempen ini sejak minggu lalu.

Dalam pada itu juga, Hanni Afrah turut menjelaskan 'bahan bacaan yang sesuai mampu menghilangkan tekanan dalam diri seseorang'.

"Sebagai sebuah biro yang berada di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), KSP sentiasa memberi keutamaan kepada aktiviti pendidikan dan kebajikan," katanya.

Tambah Hanni Afrah, KSP turut berterima kasih kepada syarikat-syarikat penerbitan yang menyokong kempen ini.

"Antara yang terawal tampil memberi sumbangan buku ada penerbitan Sasbadi, Kumpulan Karangkraf, Perbadanan Perpustakaan Selangor, DBP dan orang perseorangan.

"Saya berharap selepas kempen ini dilancarkan, lebih ramai lagi pihak-pihak lain atau individu yang boleh berkongsi bahan bacaan untuk kempen ini," jelasnya.

Turut hadir pada majlis pelancaran kempen Khamis lalu termasuk Ketua Umno Ampang, Datuk Ismail Kijo serta Ketua Pengarah Biro Tata Negara Datuk Ibrahim Saad.

Antara lima buah rumah anak yatim yang menerima sumbangan awal buku atau bahan bahan bacaan ialah Rumah Kebajikan Nur Hati, Rumah Bakti Dato Harun, Rumah Kasih Nur Hasanah, Pusat Jagaan As-Samad dan Persatuan Darulhayah Selangor dan Kuala Lumpur.

Jom Derma Buku, KSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain