suria

Serangan Habis-Habisan Di Marawi

KOTA KINABALU: Pertempuran antara anggota militan dan pasukan keselamatan Filipina di Marawi nampaknya akan menjadi satu perjuangan hingga ke titisan darah terakhir, menurut beberapa komander tentera di negara itu.

Pasukan tentera telah mengepung bandar itu di mana pensyarah dari Malaysia yang kini menjadi militan, Dr Mahmud Ahmad masuk ke kawasan tersebut dengan sekurang-kurangnya 90 anggota militan.

Dengan pertempuran yang berlaku di kawasan itu, tentera Filipina berdepan kekangan apabila kira-kira 100 orang awam enggan dipindahkan.

Mereka bimbang rumah dan premis perniagaan mereka akan dirompak atau rosak dalam pertempuran.

Menurut tentera, anggota militan sentiasa bergerak dari satu bangunan ke bangunan lain untuk menghindar daripada bom udara dan serangan darat.

Komander tentera wilayah Mindanao Barat, Mejar Jeneral Carlito Galvez berkata adalah jelas bahawa kumpulan militan itu yang terdiri daripada kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dan Maute cuba untuk menghapuskan tenteranya.

"Mereka cuba melambatkan dan menghalang tentera kita daripada mengembalikan keamanan dan ketenteraman di bandar.

"Tindakan ini menghalang sesama umat Islam untuk menyambut Ramadan dengan aman," katanya dalam satu kenyataan media, Sabtu.

Galvez berkata, pasukan tentera cuba memastikan kawasan masjid selamat supaya penduduk beragama Islam boleh beribadat dengan tanpa gangguan.

Beliau berkata pasukan keselamatan juga telah melakukan serangan udara ke atas sasaran tertentu, termasuklah bangunan yang diduduki militan.

Serangan tersebut diharapkan dapat mengakhiri pertempuran, katanya.

Ketua turus tentera, Heneral Eduardo Ano berkata terdapat kemungkinan bahawa Isnilon Hapilon, seorang pemimpin Abu Sayyaf yang diisytiharkan sebagai ketua angkatan IS di Filipina pada awal tahun lepas masih berada dalam bandar.

"Kami akan pastikan dia terkubur di situ," kata beliau sambil menambah anggota tentera dijangka menghapuskan kumpulan militan itu dalam tempoh lebih kurang seminggu.

Seperti Maute, Abu Sayyaf juga telah berikrar setia kepada IS.

Dr Mahmud dikenali pasti sebagai individu berikutnya yang akan mewujudkan kubu IS di Asia Tenggara, yang kini di bawah perintah Hapilon yang dilaporkan cedera parah dalam satu serangan udara di Basilan kira-kira dua bulan lalu.

Menurut sumber, Dr Mahmud mengetuai anggota militan yang lain bagi menyelamatkan Isnilon dalam serangan Marawi.

Tambah sumber, mereka percaya Dr Mahmud juga cuba untuk mengisi kekosongan dalam kepimpinan tersebut sekiranya Isnilon disahkan meninggal dunia.

Mereka menjelaskan bahawa pemimpin Abu Bakr al-Baghdadi begitu terdesak mencari ketua baharu bagi kumpulan di Asia Tenggara yang pernah diketuai Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

Bagaimanapun, Muhammad Wanndy terbunuh dalam serangan dron di Raqqa, Syria.

Menurut sumber, Dr Mahmud yang juga dikenali sebagai Abu Handzalah, kini merupakan satu-satunya leftenan yang dipercayai dikaitkan dengan Baghdadi selain Isnilon di selatan Filipina.

militan, Abu Sayyaf, Marawi

Artikel Sebelum

Artikel Lain