suria

IOI Mendaki Puncak

Lee Yewo Chor.

WALAUPUN lembaran sejarahnya dalam industri minyak sawit 'agak pendek', IOI Corporation Berhad kini diangkat sebagai salah sebuah pemain industri minyak sawit di dunia.

Perniagaan IOI dalam industri ini melibatkan penanaman dan pemprosesan minyak sawit.

Ia mempunyai operasi di sepanjang rantaian nilai, daripada aktiviti huluan seperti pembiakan benih, penanaman dan pengeluaran minyak tanaman kepada sumber hiliran berasaskan aktiviti perkilangan.

Dari segi pengeluaran, ia menghasilkan kira-kira 800,000 tan minyak sawit mentah (CPO) setahun, yang mewakili hampir 4% daripada jumlah pengeluaran negara.

Dari sudut pemprosesan, syarikat itu, yang juga menggunakan CPO dari sumber lain, menghasilkan kira-kira 2.6 juta tan minyak sawit setahun, menyumbang kira-kira 18% daripada jumlah pengeluaran negara.

"Kami bermula dengan tiada apa-apa pada awal tahun 1980-an untuk menjadi salah sebuah pengeluar minyak sawit terbesar di negara ini. Banyak syarikat perladangan utama di Malaysia hari ini mempunyai sejarah yang sangat panjang, ada lebih 100 tahun, termasuk sejarah mereka dalam perladangan getah.

"Hari ini, kami adalah syarikat perladangan kedua paling bernilai di Malaysia dan syarikat berkaitan perladangan bukan milik kerajaan yang terbesar," kata Ketua Pegawai Eksekutif IOI Corporation Bhd, Datuk Lee Yeow Chor yang berkongsi mengenai pencapaian syarikatnya.

"Selain itu, kita sentiasa menekankan kecekapan. Kita juga gembira dengan hakikat bahawa ramai penganalisis pelaburan telah mengiktiraf kami sebagai salah sebuah syarikat perladangan kelapa sawit paling efisyen di Malaysia," katanya.

Satu lagi pencapaian penting, kata Lee, adalah IOI Corporation Berhad telah meletakkan dirinya sebagai sebuah syarikat minyak sawit bersepadu dengan perniagaan hiliran besar termasuk operasi secara global dengan mencipta nama di Eropah, Amerika Syarikat dan Asia.

Namun, perniagaan perladangan ada cabarannya.

Pertama, cabaran yang dihadapi oleh industri secara keseluruhan, adalah pengeluaran hasil yang terjejas disebabkan keadaan cuaca buruk.

Ini termasuk cuaca panas, kesan El Nino, dan turun naik antara cuaca panas dan lembap sehingga memberi kesan kepada pengeluaran.

Sistem robot digunakan di sebuah kilang IOI meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

Cabaran kedua adalah kekurangan pekerja asing dalam industri intensif buruh.

"Kedua-dua faktor ini telah menjejaskan hasil pengeluaran dalam industri selama 15 tahun lalu," kata Yeow Chor.

IOI Corporation juga menghadapi satu lagi cabaran berkaitan perluasan kawasan tanaman kerana keperluan pematuhan terhadap peraturan persekitaran kebangsaan dan dasar kemampanan dan komitmen yang lebih ketat.

"Peraturan dan prosedur yang perlu kita dipatuhi memberi kekangan kepada pengembangan kami, terutamanya di negara luar," katanya.

Yeow Chor turut berkongsi beberapa pelan perniagaan syarikat dan hala tuju dalam menangani beberapa isu ini.

"Pertama, menyedari bahawa penanaman kelapa sawit merupakan industri intensif buruh, pelan penting adalah untuk merumuskan dan melaksanakan inisiatif penjimatan buruh di semua ladang kita.

"Ia perlu dilakukan dengan penggunaan mesin selain menjadi inovatif dalam amalan pendekatan di semua ladang. Kita perlu memikirkan kaedah baru untuk melakukan perkara yang kita dilakukan, " tegas beliau.

Satu lagi hala tuju yang sedang dilakukan adalah untuk memperkukuhkan kelestarian syarikat itu di Eropah dan Amerika Syarikat bagi membolehkan mereka menjadi pembekal pilihan kepada banyak syarikat multinasional terutamanya di wilayah itu.

Melangkah ke hadapan, bagi memenuhi keperluan pertumbuhan, syarikat itu juga merancang untuk mengembangkan operasi hiliran menjangkaui negara maju ke negara kurang membangun seperti Amerika Selatan dan India.

Namun, risiko menjalankan perniagaan di negara tersebut amat tinggi.

"Satu pelan adalah untuk meneroka kerjasama dengan pemain industri yang sama, sama ada MNC atau pemain serantau yang lebih besar yang sudah wujud di negara tersebut," katanya.

Pada 2004, IOI menjadi salah sebuah ahli pengasas Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO), sebuah ogranisasi global yang ditubuhkan bagi menggalakkan pertumbuhan dan penggunaan minyak sawit lestari yang diperakui.

IOI mencapai pensijilan RSPO penuh untuk semua ladang sedia ada dan kilang-kilang milik syarikat itu di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada 2013.

Pada masa sama, IOI turut komited sepenuhnya kepada dasar tiada penebangan hutan, penanaman di tanah gambut dan eksploitasi (NDPE) seperti dinyatakan dalam Dasar Minyak Sawit Lestari.

Di samping itu, untuk menjadi pemain kelestarian terkemuka dalam bidang ini, Yeow Chor berkata ia tidak cukup sekadar memastikan syarikat mematuhi dasar dalam operasi mereka sendiri.

"Sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) turut meminta kami untuk memastikan bahawa rantaian bekalan dalam operasi selaras dengan dasar syarikat. Ini bermakna ratusan pembekal langsung dan tidak langsung juga perlu mematuhi dasar syarikat. Jadi perlu banyak pemantauan dan keyakinan untuk mencapainya," kata Yeow Chor.

Berkaitan kebajikan pekerja, sudah menjadi tradisi syarikat perladangan menyediakan kemudahan seperti klinik, sekolah, pusat komuniti, kemudahan sukan dan perumahan percuma kepada pekerjanya.

Hari ini, Yeow Chor berkata kriteria untuk kebajikan pekerja telah berkembang. Mengikut tafsiran NGO tertentu mengenai tiada eksploitasi, mereka juga melihat beberapa perkara berkaitan hak asasi manusia dan pemerdagangan buruh.

"Jadi hari ini, kita perlu memperluaskan usaha untuk memastikan pekerja bukan sahaja dilayan dengan baik apabila mereka datang ke Malaysia tapi kita perlu bermula dari negara asal mereka," katanya.

Conezion Residences adalah projek terbaru IOI Properties di IOI Resort City di Putrajaya. Klik di sini untuk melihat ciri-ciri dan kemudahan yang mengagumkan apartmen perkhidmatan eksklusif.

IOI Corporation Berhad

Artikel Berikut

Artikel Lain