suria

Inikah Punca Banyak Jalan Berlubang?

PETALING JAYA: Sebanyak 80 peratus kontraktor yang melakukan kerja-kerja penurapan jalan di negara ini didakwa tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dakwaan mengejutkan itu dibuat seorang individu, yang mengaku dirinya bertugas sebagai juruteknik makmal melalui kiriman mesej kepada Ketua Kelab Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Lando.

Seterusnya paparan skrin mesej itu telah dikongsi oleh Lando, atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi di Facebook, awal pagi Sabtu.

Lando adalah aktivis yang telah lebih 10 tahun menjalankan aktiviti menurap jalan berlubang di seluruh Malaysia dan mempunyai jenama tar sendiri, Tar Brotherhood.

"Boleh katakan 80 peratus kontraktor Malaysia ni 'design mix' memang tak ikut spesifikasi JKR.

"Aku tak tau macam mana projek boleh diteruskan sedangkan apa yang aku tau, bila sampel 'gagal', premix yang diturap mesti dibuka semula dan diganti premix yang diluluskan," demikian 'keluhan' individu berkenaan yang dikirim kepada Lando. Bagaimanapun identiti individu berkenaan tidak didedahkan.

Bersama gambar paparan skrin yang dimuat naik, Lando menegaskan bahawa dakwaan itu sekadar satu perkongsian dan ia bukan dibuat oleh beliau.

"Bukan wa cakap. Alhamdulillah Tar Brotherhood lepas piawaian makmal. Sampai sekarang makmal yang buat coring test ambil dari 'wa'," katanya.

Berikut adalah posting penuh yang dimuat naik oleh Lando di Facebooknya:

Posting ini telah mendapat perhatian netizen yang menganggap ada sesuatu yang tidak kena dengan perkara ini dan ada juga mengaitkannya dengan isu rasuah.

Rata-rata menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan dengan telus.

"SPRM boleh masuk, lubang keramat tu boleh buat nyawa 'wa' melayang," tulis Mohd Zaini Zakaria di ruangan komen.

Khairi Hamzah menulis: "Rasuah bukan saja perosak bangsa, malah rasuah juga perosak jalan."

Mohd Rizuwan Sayeeda Raudhah pula menulis komen: "Go report tuan, jangan sampai kes ini dikatakan sudah basi. Harap SPRM tulus not fulus di bulan mulia."

Lando yang juga penerbit dan pengarah iklan komersial turut dilihat memberi reaksi terhadap komen-komen yang diberikan.

Malah, beliau juga dilihat bersedia memberi kerjasama apabila terdapat individu yang meminta beliau berbuat demikian sekiranya laporan dibuat kepada SPRM.

Lando, JKR, SPRM

Artikel Sebelum

IOI Mendaki Puncak

Artikel Berikut

Artikel Lain