PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggesa jabatan agama Islam supaya menggunakan sumber mereka untuk membantu golongan miskin berbanding menangkap mereka yang ponteng puasa pada bulan Ramadan. Menerusi siri tulisannya di Twitter pada Ahad, Khairy menyuarakan mengenai isu membabitkan penguatkuasaan jabatan agama dengan menyatakan bahawa keutamaan yang lebih besar adalah membantu mereka yang memerlukan. "Daripada jabatan agama membelanjakan wang terhadap pegawai penguatkuasaan mencari mereka yang ponteng puasa, gunakanlah untuk membantu golongan asnaf dan membuat perkara yang baik. "Dari segi 'awlawiyat' (keutamaan), adalah lebih penting kita membantu mereka yang memerlukan daripada menguatkuasakan kewajipan agama secara individu," katanya di Twitter. Kenyataan Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno itu mencetuskan pelbagai reaksi termasuk seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama @notreallyimran memberi pandangan bahawa adalah satu kemestian bagi jabatan agama menangkap orang-orang yang tidak berpuasa kerana berpuasa di bulan Ramadan merupakan salah satu Rukun Islam. Khairy kemudiannya membalas: "Adalah wajib untuk anda mematuhi lima rukun itu. Tetapi bukan kemestian untuk orang menangkap anda kerana tidak melakukannya." Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, orang Islam yang didapati makan, minum atau merokok secara terbuka pada bulan Ramadan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya. Pada masa sama, Khairy turut menerima gesaan orang ramai supaya tidak sekadar bercakap, sebaliknya perlu melakukan tindakan lanjut. Namun kata Khairy, ia bukan satu perkara yang mudah. "Saya boleh bincang dengan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Jamil Khir mengenai Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), tetapi kena ingat jabatan-jabatan lain yang membuat penguatkuasaan di bawah kuasa negeri. "Jadi, ia bukan perkara yang mudah untuk 'tidak bercakap, sekadar melakukannya'. Agama merupakan urusan setiap negeri. Banyak jabatan agama Islam negeri di bawah Raja-Raja. "Oleh itu, satu cara untuk melakukannya adalah dengan menggalakkan perbahasan awam. Jika jangkaan masyarakat berubah, maka akan ada tekanan terhadap jabatan-jabatan agama," katanya.