KETIKA dunia berdepan krisis bahan api yang semakin berkurangan disamping pembakarannya yang memudaratkan alam semulajadi, syarikat perladangan terkemuka Malaysia, Genting Plantations Berhad (GENP) ada penyelesaian paling sesuai yang dihasilkan menggunakan tumbuh-tumbuhan. Teknologi metatesis yang diperkenalkan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat, Elevance Renewable Sciences telah memacu industri minyak sawit sebagai salah satu produk perladangan yang boleh diperbaharui. Selain organisasi yang pernah menerima Anugerah Nobel tersebut, bahan mentah itu dilihat mampu menembusi pasaran ke peringkat global dan seterusnya merevolusikan pembentukkan nilai tanaman ini. Menurut Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi GENP, Yong Chee Kong, penghasilan produk perladangan yang bermutu tinggi itu merupakan kejayaan daripada usahasama startegi antara kedua-dua pihak. "Kerjasama dengan Elevance membolehkan kami menghasilkan pengkhukusan bahan mentah yang bernilai seperti olefin dan derivatif dari minyak sawit," katanya. Tambahnya lagi, beberapa produk lain yang berjaya dihasilkan berupaya menjadi produk berkualiti tinggi yang dapat menggantikan bahan mentah kini yang berasaskan petrokimia. "Produk yang dihasilkan adalah baru dan mesra alam selain mampu membuka pasaran yang lebih luas," ujarnya. Kompleks Loji Penapisan Bio Bersepadu Genting yang terletak di Lahad Datu, Sabah ini dilihat dapat memenuhi keperluan dua lagi loji biodisel yang telah beroperasi, iaitu loji penapisan minyak sawit dan loji metatesis yang dijangka bakal siap tidak lama lagi. Ini secara tidak langsung menjadikan ia kemudahan pertama seumpamanya di Malaysia dan yang terbesar di dunia dalam proses tukaran minyak sawit kepada olefin dan beberapa bahan mentah lain. Namun begitu, kos pengeluaran kini yang semakin melonjak naik secara tidak langsung memberi kesan terhadap sektor perkhidmatan buruh. Bertitik tolak dari itu, GENP terpaksa melaksanakan penggunaan jentera mesin hampir di setiap ladang di Malaysia. "Kami telah memperkenalkan inisiatif penggunaan jentera terutamanya dalam sektor kerja-kerja lapangan. "Hari ini, kami dengan bangganya mengumumkan penggunaan jentera berskala penuh ke semua kawasan Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dan dijangka bakal dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh setahun," katanya. Tambahnya lagi, kemajuan sains dan teknologi jelas membawa kejayaan dalam merevolusi genetik produk perladangan terutama dalam industri minyak kelapa sawit. Menurut Chee Kong, hasil daripada teknologi genom yang digunakan, ACGT yang juga merupakan sebuah cabang bioteknologi GENP, telah membangunkan sistem penandaan yang berupaya untuk mengenal pasti hasil minyak sawit sejak dari peringkat awal lagi. "Sejak itu kami meneruskan saringan penanaman sawit dengan menggunakan teknologi sistem penandaan kami secara lebih meluas," ujarnya. Selain penjujukan genetik, pendekatan yang lebih holistik melibatkan kajian mikrob hidup pada akar tumbuh-tumbuhan, dapat memberi kesan kepada pokok dalam penyerapan nutrien dan air, seterusnya menggalakkan lagi pertumbuhan kelapa sawit dan mengurangkan kecenderungan penyakit kepada pokok. Selain itu, formula Yield Booster yang mempunyai formulasi asas-mikrob yang dirumuskan ACGT juga mempunyai khasiat yang menggalakkan pertumbuhan tanaman serta keupayaan untuk mengurangkan jangkitan ganoderma. Ujian awal Yield Booster yang dilakukan di beberapa ladang milik GENP menunjukkan keputusan yang memberangsangkan pada peningkatan hasil tanaman ladang lebih 20%. "Kami kini melihat kearah meningkatkan skala pengeluaran untuk kegunaan penanaman komersial, jelasnya. Sementara itu pada sidang Global TED 12 tahun lalu, Ketua Eksekutif GENP, Tan Sri K.T. Lim dalam pertemuannya bersama ahli biokimia dan pakar genetik Amerika Syarikat, Craig Venter telah membincangkan idea bagi pemetaan genetik kelapa sawit. Hasil daripada dialog kerjasama yang berkembang dari perbincangan tersebut, GENP telah mengambil langkah berani dalam penjujukan genetik kelapa sawit. Menurut Venter, beliau yakin jika genetik tumbuhan tersebut dapat ditembusi, kemungkinan membuahkan hasil yang luar biasa. "Kami mula melihat kepada kemungkinan minyak sawit dalam menyumbang kepada penghasilan pokok yang dapat menghasilkan petrol untuk keperluan tenaga dunia pada masa depan," jelasnya. Selain menjadi kunci utama bagi isu dalam industri perladangan, GENP turut memainkan peranannya bagi memastikan pengeluaran yang dihasilkan itu mesra alam dalam memberikan komitmen sebagai ahli Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari Malaysia (RSPO). Kilang pemprosesan minyak sawit di Sabah misalnya, Genting Jambongan Oil Mill menjadi satu-satunya kilang yang berjaya menghasilkan sisa pengeluaran sifar pertama negara. Sisa mentah yang dihasilkan dari kilang 100% ditukarkan menjadi baja bio di loji penglupusan dan seterusnya disalurkan kembali ke ladang penanaman. Tambah Yong, ia merupakan satu-satunya kilang pencairan sifar yang memerlukan penggunaan air minimum bagi proses tersebut. "Pelepasan kumbahan boleh dikurangkan bagi menukarkan sisa menjadi baja, kami menggunakan aerobik termofilik mikrob, di mana suhu tinggi yang dihasilkan akan menguap kumbahan yang dihasilkan. "Dengan cara itu, tidak akan ada bahan kumbahan yang disalurkan ke dalam saliran air, tanah atau laut,"katanya. Selain menjadi pengeluar minyak sawit, syarikat itu turut menjalankan beberapa usaha dalam memulih dan memelihara kawasan melalui Projek Koridor Kehidupan Kinabatangan (KCoL) di Sabah sejak tahun 1999 yang diperkenalkan Tabung Hidupan Liar Sedunia. Sebanyak 86.5 hektar tanah digunakan sebagai rezab riparian sepanjang Sungai Tenegang Besar, di mana sebahagian besar darinya merupakan anak sungai Kinabatangan telah dikhususkan bagi pemulihan serta penanaman semula pokok. Selain 30,000 anak pokok yang telah ditanam setakat ini, hampir 45 hektar tanah di Ladang Genting Suan Lamba juga telah diperuntukkan bagi proses pemeliharaan sebahagian daripada Koridor Hidupan Liar Keruak yang dihubungkan antara Santuari Hidupan Liar Kinabatangan Rendah dan Hutan Simpan Keruak yang menyediakan laluan selamat bagi haiwan terutamanya gajah untuk berkeliaran bebas. "Pada masa ini, kami mempunyai 17,000 hektar tanah di Indonesia yang telah dikenal pasti dan dikhaskan bagi tujuan pemuliharaan kerana kawasan-kawasan ini mempunyai nilai pemeliharaan yang tinggi. "Ia mengambil kira dari 7% hingga 8% daripada jumlah simpanan tanah sedia ada, katanya. Selain memfokuskan kepada peningkatan produk perladangan, GENP turut mengambil berat tentang kepentingan modal insan dalam memberi bakti kepada masyarakat. Sehubungan dengan itu, pekerja kilang dan ladang telah diberikan pelbagai bentuk kemudahan yang baik seperti rumah, air bersih, bekalan tenaga elektrik dan juga bantuan perubatan. "Kami juga menyediakan kemudahan lain kepada mereka seperti fasiliti sukan, supaya mereka dapat bermain bola sepak, futsal dan badminton. "Mereka juga boleh melaksanakan tanggungjawab agama mereka ditempat ibadat yang telah disediakan," tambah beliau. Menjadikan pendidikan sebagai pemacu kejayaan, GENP bersama pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Bantuan Kanak-Kanak Borneo mengadakan kerjasama untuk merealisasikan Projek Sekolah Humana yang bertujuan memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari segi kedudukan geografi, kemiskinan atau status sah kerakyatan. "Inisiatif ini dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 700 kanak-kanak dari 13 unit kami yang beroperasi di Sabah. Selain itu, GENP turut menyediakan peluang biasiswa tahunan kepada pelajar-pelajar Sarjana Muda Universiti Putra Malaysia di bawah sumbangan dana daripada Tan Sri (Dr.) Lim Goh Tong dengan kerjasama Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR UC) sebagai pemangkin dalam manangani cabaran modal insan yang dihadapi industri minyak sawit. "Kami sedang berkerjasama dengan mereka untuk menubuhkan kursus berkaitan pengurusan ladang kelapa sawit berserta pendedahan kepada kilang-kilang minyak sawit juga," katanya.