suria

Ibu 'Moden' Bingung, Bayi Diberi Makan Sate, Nasi Impit

PETALING JAYA: Aidilfitri cukup sinonim dengan pelbagai juadah menyelerakan, tetapi itu tidak bermakna bayi juga bebas makan apa saja!

Tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang ibu yang bayinya baru berusia lima bulan bingung apabila ada ahli keluarganya yang lebih berumur mahu memberi anaknya makan nasi impit.

Apabila dia 'bersuara', keluarganya membandingkan 'cara modennya' dengan amalan pemakanan zaman dahulu yang tidak menunjukkan sebarang kemudaratan walaupun bayi di bawah umur enam bulan diberi makanan pejal.

Wanita itu yang berasa serba salah telah mengadu masalahnya di Facebook kepada Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad.

"Saya ada seorang anak yang raya ni baru lima bulan tapi keluarga dan keluarga mertua dah nak buatkan nasi impit lembiklah, buburlah sedangkan saya dah beritahu enam bulan ke atas baru boleh makan (pejal), itu pun puree.

"Tapi bila saya cakap, mereka akan kata, "dulu boleh je minum glukos, makan bubur umur dua, tiga bulan, hidup je sampai sekarang"," tulisnya di akaun Facebook Dr Zubaidi.

Dr Zubaidi ketika dihubungi mStar Online berkata, aduan ini telah dibuat kepadanya dua atau tiga tahun lalu dan posting mengenainya telah tersebar semula di media sosial baru-baru ini.

"Tapi ada satu lagi kes si ibu mengadu anaknya di bawah umur setahun diberi makan sate kambing oleh ahli keluarganya," katanya.

Dr Zubaidi Ahmad

Mengulas lanjut mengenai isu makanan pejal untuk bayi di bawah umur enam bulan, Dr Zubaidi berkata, risiko bayi akan mendapat mudarat adalah tiga hingga lima peratus.

"Bayi makan nasi impit tak semestinya memudaratkan, tapi kemungkinan berdepan masalah seperti penghadaman, sembelit, kembung, muntah masuk paru-paru dan risikonya antara tiga hingga lima peratus.

"Semakin banyak kita beri, risikonya semakin tinggi," katanya.

Menjawab posting tersebut, Dr Zubaidi berkata, makanan separuh pejal hanya sesuai untuk bayi berusia enam bulan ke atas.

Katanya, usus dan sistem penghadaman bayi yang berusia enam bulan ke bawah belum matang dan belum bersedia menghadam makanan kompleks atau terlalu banyak rempah.

Tambahnya, glukosa juga tidak digalakkan kepada bayi berusia setahun ke bawah.

"Ucapan kata-kata 'hidup je sampai sekarang' ibarat berkata 'dulu bawa motosikal tidak pakai helmet, hidup juga sampai sekarang'. Malang tidak berbau. Bila sudah berlaku tiada apa yang hendak disesalkan lagi," tulisnya.

Beliau juga percaya jika pemakanan pejal untuk bayi dilambatkan sedikit, sebaik-baiknya usia satu tahun, tahap kesihatan dan tumbesaran bayi akan lebih baik selain kurang alahan.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa bahawa susu ibu tetap menjadi makanan terbaik bayi berbanding makanan lain atau susu formula.

"Kecuali bayi itu ada isu berat badan, dan 'kering' susu ibu, makanan tambahan yang sesuai boleh dicuba untuk mereka," katanya.

Mengenai konflik makan bayi cara 'ibu moden' dengan 'orang lama', Dr Zubaidi mengakui agak sukar menanganinya tetapi sebagai ibu bapa, mereka perlu menolaknya dengan penuh hikmah.

"Pandai-pandailah kita menolak dengan hikmah.

"Kita beritahu mungkin orang lain boleh, tapi anak kita ni ada masalah sikit, mungkin datuk dan nenek tak berapa faham," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain