PETALING JAYA: Nampaknya hati usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamarul Zaman, 32, berbunga-bunga apabila berkongsi gambarnya bersama seorang jejaka berbadan sasa dengan wajah ditutup menerusi laman perkongsian Instagram pada Ahad lalu. "Kadang-kadang, ada benda kita kena rahsiakan... rahsia siapa pasangan kita... so kena tutup mukanya... supaya menjadi teka-teki... selamat berbuka," demikian keterangan gambar yang dimuat naik Nur Sajat yang disertakan dengan hashtag #happytime #janganmengata #LetsCantik #nursajat02 dan menariknya, terdapat juga emoji sekuntum bunga. Gambar dan kapsyen tersebut menimbulkan pelbagai reaksi netizen, ada yang memuji 'kekasih' baharu Nur Sajat, sambil meneka siapakah lelaki berbadan sasa itu, tidak terkecuali 'haters' yang tidak henti-henti mengkritik dan mengecam beliau. Timbul pelbagai spekulasi mengenai identiti jejaka sasa tersebut apabila netizen meneka beberapa nama di ruangan komen. Apatah lagi, Nur Sajat sebelum ini pernah dikaitkan netizen dengan lelaki-lelaki kacak dan berbadan sasa. Nur Sajat pada awalnya 'kunci mulut' bila ditanya siapakah lelaki itu dan tindakannya memadamkan gambar tersebut selepas beberapa jam ia dimuat naik di media sosial, gerangan jejaka misteri itu terus menjadi tanda tanya. Bagaimanapun, Nur Sajat akhirnya tampil membuat pengakuan kepada mStar Online bahawa gambar berkenaan sebenarnya hanyalah sebahagian daripada strategi pemasaran rangkaian produknya 'let's cantik' dan 'jangan mengata'. "Apa-apa yang berlaku pada saya sebagai 'public figure', orang kenal jadi macam-macam orang buat ramalan. "Saya hanya buat strategi pemasaran untuk melariskan produk dan bisnes," kata Nur Sajat kepada mStar Online. Mengenai jodoh, Nur Sajat memberitahu pada masa ini tiada apa yang dapat dikongsikan kepada umum mengenai siapakah pasangan hidupnya. "Saya sebenarnya bahagia bersama keluarga, anak-anak dan kawan-kawan," katanya tanpa mengulas lanjut mengenai lelaki berbadan sasa di dalam gambar tersebut. Ditanya mengenai keterangan gambar yang menyebut tentang 'rahsia pasangan', Nur Sajat menjelaskan bahawa ia sebenarnya dikaitkan dengan kepentingan menjaga kecantikan dan penampilan diri. "Itu sebahagian daripada strategi pemasaran... bila kita berpasangan, apakah yang kita perlu ada pada diri kita? Antaranya kecantikan, rupa paras dan kasih sayang. "Jadi, semua kapsyen termasuk beberapa gambar di Instagram sebelum ini semuanya melibatkan produk-produk saya," katanya. Justeru, Nur Sajat sekali lagi menjelaskan bahawa lelaki berbadan sasa yang ditutup wajahnya di dalam gambar tersebut bukanlah kekasihnya. "Diharap penjelasan saya ini dapat menjawab segala persoalan dan salah faham semua. Saya berharap anda semua terus menyokong produk-produk kecantikan dan penjagaan diri saya. Terima kasih kerana memberi sokongan," katanya.