KANGAR: Seramai 30,521 penduduk Islam di Perlis akan menerima bantuan berjumlah RM4.5 juta daripada kerajaan negeri sempena ketibaan Ramadan. Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata setiap seorang dari kalangan warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya, miskin dan anak yatim akan menerima RM150. "Sumbangan ini ialah tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat yang kurang bernasib baik yang akan dipastikan setiap golongan sasar yang memerlukankan menerimanya," katanya. Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan 2017 kepada 2,831 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong di Masjid Al-Muqarrabin, Behor Empiang di sini Selasa. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Rela Ahmad. Azlan berkata selain sumbangan Ramadan dan Aidilfitri, kerajaan negeri juga menyediakan dana untuk masyarakat Tionghua, Siam dan keturunan India menyambut perayaan masing-masing tahun ini. "Syukur kita masyarakat berbilang bangsa dan agama masih dapat hidup dalam negara yang aman dan damai. Keamanan inilah membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan untuk membantu rakyat menyambut hari kebesaran masing-masing," kata Azlan.