suria

Rapid KL Buka Klinik Bacaan Al-Fatihah Sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR: Rapid KL menyediakan satu klinik khas kepada orang ramai bagi memantapkan bacaan surah Al-Fatihah di stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek sepanjang bulan Ramadan ini.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataannya berkata, klinik itu dikendalikan tenaga pakar dari Masjid Jamek Kuala Lumpur yang akan mendengar, mengulas dan memantapkan bacaan orang ramai.

Perkhidmatan percuma itu dibuka setiap hari kepada orang ramai pada 2 hingga 6 petang pada hari bekerja dan antara 10 pagi hingga 6.30 petang pada hujung minggu serta cuti umum.

Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Kelana Jaya, Ismail Abdullah berkata program itu diharapkan dapat meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan orang Islam mengenai kepentingan dan kehebatan al-Quran.

"Tentunya tenaga pengajar dari Masjid Jamek itu akan turut sudi menjawab persoalan-persoalan lain tentang agama Islam khususnya dalam pembacaan al-Quran," katanya.

Ismail berkata stesen Masjid Jamek dipilih kerana ia merupakan antara stesen paling sibuk untuk laluan Kelana Jaya di samping lokasinya yang berhampiran dengan Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Selain itu, Rapid KL turut menyediakan kaunter bayaran zakat di stesen LRT Taman Melati, Gombak dan Bandar Tasik Selatan.-- Bernama

Rapid KL, al-fatihah, Prasarana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain