PETALING JAYA: Lelaki yang mengalami masalah mental yang mengancam mahu meletupkan pesawat Malaysia Airlines MH128 baharu sahaja keluar dari pusat rawatan psikiatri, lapor News Corp Australia Network. Menurut polis Australia, suspek yang juga 'pesakit sukarela' dikeluarkan dari pusat tersebut pada Rabu. Agensi berita itu memetik Ketua Pesuruhjaya Polis Victoria, Graham Ashton bahawa warga Sri Lanka itu membeli tiket penerbangannya sebaik sahaja dibenarkan keluar. Pesawat MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur berpatah balik ke Lapangan Terbang Melbourne sebaik sahaja berlepas malam Rabu selepas seorang penumpang mendakwa memiliki bahan letupan mahu memasuki kokpit. Pesawat itu selamat mendarat dan lelaki itu dibawa keluar dari pesawat oleh pihak keselamatan lapangan terbang. Polis berkata insiden itu tiada kaitan dengan serangan pengganas dan lelaki berusia 25 tahun itu kini dalam tahanan polis. Suspek akan dibawa ke mahkamah pada Khamis. Menurut seorang penumpang, kira-kira tempoh 30 minit penerbangan itu, seorang penumpang lelaki menyerang seorang anak kapal wanita yang kemudiannya menjerit meminta tolong. Penumpang dan anak kapal berjaya mengawal lelaki itu dan mengikat tangan dan kakinya dengan tali pinggang keledar sehingga pesawat mendarat.