PETALING JAYA: Kesungguhan 'admin' akaun Twitter syarikat makanan segera, A&W Malaysia yang cuba menggunakan 'ayat power' ketika membalas tweet seorang pelanggannya telah menghiburkan netizen. Segalanya bermula apabila 'admin' rangkaian restoran itu menulis tweet mempromosikan rut bir popularnya untuk berbuka puasa. "Tekak kering la pula. Buka puasa dengan rut bir hari ini!," demikian tweet yang dibuat di akaun Twitter @anwmalaysia pada 28 Mei lalu. Tweet tersebut telah menarik minat seorang pengguna @TattyHassan yang membalasnya dengan bertanya: "Awak nak cuba bagi saya kena gastric ka berbuka dengan rut bir?." Melihat pertanyaan itu, @anwmalaysia dengan 'nakal' telah membalasnya dengan menulis: "Saya sengaja nak awak sakit. Supaya saya boleh jaga awak sentiasa." Ia kemudian berlarutan menjadi satu siri perbualan yang menghiburkan. Berikut adalah paparan skrin perbualan penuh mereka. Perbualan ini telah menjadi tular di media sosial. Setakat ini ia telah dikongsi sebanyak hampir 2,500 kali dan mendapat hampir 4,000 'like'. "Orang suruh kau meniaga, kau pergi memancing," gurau Aff Abd Malek di ruangan komen Facebook. Fatih Omar menulis: "Hahaha...A&W pun pandai bercia-cia". Tindakan 'admin' A&W Malaysia ini yang sudi meluangkan masa untuk pelanggannya telah mendapat pujian ramai, malah ada yang menyarankan agar 'admin' tersebut dinaikkan pangkat. Ia juga dilihat sebagai satu cara untuk mengeratkan hubungan antara restoran itu dengan pelanggannya.