suria

PKR Nafi Sivarasa Lapor Polis Terhadap Sultan Selangor

SHAH ALAM: PKR menafikan mesej WhatsApp satu kenyataan yang kononnya dikeluarkan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, kenyataan itu sengaja dibuat bagi menjejaskan nama Sivarasa dan PKR.

"Beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media seperti ini, malah beberapa fakta adalah salah.

"Sivarasa tidak mempunyai seorang pembantu/PA pada waktu ini yang bernama Peter Chong dan beliau bukan Naib Presiden PKR," katanya dalam kenyataan media, Sabtu.

Sebelum ini tular di WhatsApp satu kenyataan yang kononya dikeluarkan oleh Sivarasa sebagai berkata, "Kenyataan dikeluarkan pihak Istana Selangor terhadap saya dirasakan terlalu kasar dan menafikan hak kebebasan saya untuk bersuara dan menyatakan kebenaran mengenai situasi politik semasa.

"Disebabkan itu, saya akan membuat laporan polis terhadap kenyataan Sultan Selangor kerana melanggar hak seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan," petik kenyataan itu.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap tindakan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang berucap dalam Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang, 24 Mei lalu.

Baginda menyifatkan perbuatan Sivarasa itu melampaui batas kerana masih berucap di dalam masjid meskipun sudah berkali-kali diingatkan agar masjid tidak dijadikan tempat berpolitik sama ada bagi yang beragama Islam mahupun bukan Islam.

Sultan Selangor turut memberi amaran untuk tidak teragak-agak menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan AJK masjid yang melanggar serta tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Selasa lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan Sivarasa yang memasuki dan memberi ceramah di ruang solat Masjid An Nur Kampung Melayu Subang. - Sinar Harian


 
Sultan Selangor, Sivarasa, PKR

Artikel Sebelum

Situasi MH128 Tegang

Artikel Berikut

Artikel Lain