suria

Situasi MH128 Tegang

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Australia Rules Football, Andrew Leoncelli (gambar) berdepan situasi tegang ketika beliau cuba menenteramkan suspek yang mengancam untuk mengebom pesawat Malaysia Airlines MH128 pada Khamis.

Leoncelli merupakan antara penumpang yang membantu anak kapal untuk menahan Manodh Marks daripada bertindak ganas.

Marks mendesak untuk memasuki bahagian kokpit dan memaksa juruterbang untuk patah balik ke Lapangan Terbang Tullamarine di Melbourne, Australia.

Leoncelli yang menghadiri satu majlis hartanah di sini pada Sabtu berkata, beliau mendengar seorang lelaki bertengkar dengan dua anak kapal MH128 sewaktu pesawat itu cuma tinggal berapa minit untuk berlepas.

"Suara mereka semakin tinggi dan saya boleh dengar dengan jelas perbualan itu.

"Dia mahu berjumpa dengan juruterbang, ia satu permintaan yang luar biasa," kata bekas pemain sukan yang mirip ragbi itu.

Katanya, situasi itu menarik perhatiannya dan anak kapal menjadi semakin agresif terhadap lelaki berkenaan serta memintanya untuk kembali ke tempat duduk.

Tidak lama kemudian, Leoncelli terdengar anak kapal menjerit meminta tolong dan beliau segera menghulurkan bantuan untuk berdepan dengan Marks yang membawa objek hitam besar.

Kata Leoncelli, beliau bertanya kepada Mark sama ada dia serius dan menyuruhnya kembali duduk, namun Marks membalas bahawa dia akan melakukannya.

"Bila dia mengulangnya untuk kali ketiga barulah saya sedar yang dia serius dan saya undurkan diri.

"Tangan lelaki itu seakan-akan ingin menekan butang kuasa pada objek yang dipegangnya. Saya tak tahu apakah objek itu," katanya.

MH128, Andrew Leoncelli, Manodh Marks

Artikel Lain