suria

T-Shirt Bapa, Selendang Ibu Pengubat Rindu

Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, enam, (kanan) memujuk kakaknya Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, sembilan, yang tidak dapat menahan sebak ketika hadir untuk menerima sumbangan daripada Bernama di Wisma Bernama, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Dua tahun selepas kematian ibu dan bapa mereka, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 9, dan adiknya Nur Firuza Aqilah , 5, masih tidak dapat dipisahkan daripada t-shirt berwarna hijau milik bapa mereka dan selendang ibu yang menjadi tempat mereka melepaskan rindu.

Menurut ibu saudara mereka Yusnidah Husain, 49, lazimnya Nur Firuza Amira akan memeluk baju arwah bapanya itu manakala Nur Firuza Aqilah pula akan mencium bantal serta memakai selendang arwah ibunya.

Katanya sejak pemergian arwah adik dan isterinya, kedua-dua anak saudaranya itu juga sering kali meminta supaya dibawa ke kubur arwah ibu bapa mereka yang tidak jauh dari rumahnya.

"Sebelum mereka berdua memeluk dan mencium batu nisan di pusara arwah ibu dan bapa mereka, Mira akan terlebih dahulu mengucapkan salam: ''Assalamulaikum mama dan papa, Mira datang dengan adik ini''.

Begitulah reaksi mereka apabila setiap kali dibawa menziarahi kubur kedua orang tuanya," katanya kepada Bernama.

Yusnidah berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan berbentuk pakaian, peralatan mandi kanak-kanak dan duit raya kepada dua beradik yang dianjurkan Hawa Business Centre sebagai projek Tanggungjawab Korporat Sosialnya (CSR) dengan kerjasama Bernama News Channel di Wisma Bernama, Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Dalam kejadian pada 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves.

Selain itu, Yusnidah berkata bagi mengurangkan perasaan rindu adik beradik itu kepada arwah ibu bapa mereka, beliau akan memasak spaghetti dan roti bakar yang merupakan makanan kegemaran yang sentiasa dimasak oleh arwah ibu mereka sebelum ini.

"Saya juga akan cuba menenangkan mereka dengan memeluk dan meminta mereka supaya mendoakan dan menghadiahkan al-Fatihah setiap kali sebelum mereka tidur," katanya.

Sementara itu, Azman menzahirkan rasa gembira kedua-dua beradik itu berada dalam jagaan baik keluarga ibu saudara mereka.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya terutamanya pembonceng dan penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati kerana jumlah kematian daripada golongan itu adalah antara yang tertinggi di negara ini.  -- Bernama

DUKE, Nur Firuza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain