suria

Tipu Bank: Rakyat Malaysia Dipenjara Di Melbourne

PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia yang menggunakan pasport palsu untuk membuat pengeluaran wang sebanyak A$680,605.82 (RM2.16 juta) bagi sindiket rompakan antarabangsa akan dipenjarakan selama tiga tahun di Australia.

Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan Chan Seng Yee, 22, yang dijatuhi hukuman oleh Mahkamah County di Melbourne pada bulan lalu, kerana peranannya di dalam sindiket tersebut di mana dia dibayar A$10,000 (RM31,820).

Dia sebelum itu mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu mendapatkan manfaat kewangan dengan penipuan dan satu dakwaan memperoleh harta dengan penipuan.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Mark Taft berkata peranan Chan dianggap sebagai penting kepada sindiket penipuan yang canggih dan dirancang dengan teliti itu.

Akhbar itu turut mendedahkan bahawa penipuan terancang itu bermula pada Julai tahun lalu di mana Chan bertemu seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket antarabangsa yang menawarkan kepadanya 'wang segera' kira-kira A$30,000 (RM95,433).

Chan yang memasuki Australia menggunakan visa pelajar pada 2013 bersetuju menggunakan identiti individu lain untuk mengeluarkan sejumlah A$1 juta (RM3.18 juta) dari sebuah akaun Bank of Melbourne.

Dia kemudiannya diminta memberikan sekeping gambar pasport dan menghafal namanya, nombor telefon, alamat emel dan tarikh lahir sebagai sebahagian daripada skim ini.

Chan kemudian mendakwa bahawa dia diancam menggunakan pistol untuk menyertai sindiket itu dan didakwa memberitahu dia akan berada di Hong Kong sebaik skim itu berakhir.

Menurut Chan, dia juga percaya bahawa pemilik sah akaun bank itu menyedari mengenai skim tersebut.

Pada 5 Ogos lalu, Chan melakukan pengeluaran pertama.

Dia melangkah masuk ke dalam sebuah cawangan Bank of Melbourne dan meminta untuk melakukan pengeluaran wang tunai sebanyak  A$30,000.

Di bawah identiti tersebut, Chan boleh membuat 34 pengeluaran berasingan daripada pelbagai cawangan bank berjumlah sehingga A$85,000 (RM270,393) dan memindahkan wang itu ke akaun bank di Westpac dan NAB.

Dia akhirnya berjaya melakukan pengeluaran sebanyak A$680,605.82 (RM2.16 juta) yang tidak dapat dikesan penyiasat.

Bank of Melbourne, Chan Seng Yee

Artikel Lain