PETALING JAYA: "Jangan kecam ambo." Demikian luah Mohd Ebbie Shafiran, peniaga arnab panggang di bazar Ramadan di Kampung Guntong, Terengganu yang dikecam hebat netizen gara-gara didakwa menjual kucing bakar susulan gambar hidangan tersebut menjadi tular di laman media sosial. Menurut Mohd Ebbie, dia hanya menjual daging arnab yang juga makanan halal untuk dimakan umat Islam. "Ambo jual arnab jah , bare (makanan) halal , buke (bukan) bare haram koksir kokdang (sesuka hati)," tulis Mohd Ebbie di laman Facebooknya. Reaksi Mohd Ebbie terhadap dakwaan arnab panggang yang dijualnya. Pada Khamis, netizen dikejutkan dengan dua keping gambar yang dikongsi pengunjung di bazar Ramadan tersebut. Ada di antara netizen tidak dapat meneka hidangan tersebut sehingga menganggap makanan eksotik yang dijual itu menyerupai kucing dan juga anak anjing. Namun dek kuasa viral itu, perniagaan arnab panggang Mohd Ebbie semakin mendapat sambutan. Malah dia turut meminta maaf kepada pelanggan kerana stok arnab panggangnya sudah habis ditempah. Katanya, pelanggan perlu menunggu pada Ahad atau Isnin untuk menikmati hidangan tersebut. "Terima kasih kepada yang sudi viralkan arnab panggang ambo, cuma ambo nak minta maaf. Kalau sape-sape gi gerai ambo untuk dua hari ni, memang tak de stok, esok punya semua orang dan booking," katanya. Mohd Ebbie berkata, stok arnab panggang sudah tiada kerana semuanya telah ditempah pelanggan. "InsyaAllah lepas ni ambo cuba bakar setiap hari atas permintaan. Tq blako-blako, jom kita makan arnab. Taknak kepala boleh beritahu," selorohnya.