PETALING JAYA: Peniaga arnab panggang yang dikecam netizen kerana didakwa menjual daging anjing dan kucing di bazar Ramadan akhirnya 'bersuara' tentang keenakan hidangan yang dijualnya itu. Mohd Ebbie Shafiran, 27, ketika dihubungi mStar Online berkata, ramai yang tidak tahu sebenarnya rasa daging arnab sangat sedap dan ia mungkin boleh menyebabkan 'ketagihan'. "Dagingnya putih, macam isi ayam tapi rasanya lebih sedap berbanding ayam. "Walaupun putih, teksturnya macam daging lembu...bahagian pahanya bila dipotong nampak macam burung," katanya ketika dihubungi pada Jumaat. Kisah Mohd Ebbie menjadi tular pada Khamis apabila gambar arnab panggang yang dijualnya di bazar Ramadan Kampung Guntong, Setiu, Terengganu dimuat naik oleh seorang pelanggannya di media sosial. Kebanyakan netizen ragu-ragu tentang gambar tersebut, sehingga ada yang menuduh Mohd Ebbie menjual kucing dan anjing panggang. Mohd Ebbie yang bekerja sebagai juruteknologi di makmal perubatan di Klinik Kesihatan Kuala Besut ini turut dikecam kerana tidak memotong kepala arnab yang dijualnya. "Tak mahu kepala boleh beritahu, saya boleh potong, ia bergantung kepada permintaan pelanggan," katanya. Bagaimanapun beliau secara jujur turut mengakui kepala arnab menjadi antara bahagian yang paling sedap dimakan. "Saya makan semua, pipi, kepala, lidah dan kepala arnab, cuma hati saja saya tak makan. "Mungkin setengah orang tak biasa, tapi bagi saya atau orang yang memang suka makan arnab, rasanya memang sedap, boleh buat ketagih," katanya. Menurut Mohd Ebbie, beliau sudah 15 tahun berniaga ayam panggang di bazar Ramadan, tetapi kali pertama cuba menjual arnab panggang tahun ini. "Kebetulan tahun ini ada orang tempah arnab panggang jadi saya panggang di bazar dan cuba jual beberapa ekor kepada pelanggan. "Saya dah agak akan berlaku sesuatu bila saya jual secara terbuka dan ada pelanggan ambil gambar, tapi tak sangka akan viral sampai macam ni," katanya. Mohd Ebbie berkata, beliau tidak marahkan mereka yang mengkritiknya kerana sedar tidak ramai yang tahu tentang daging arnab, juga keenakannya. "Tak apalah, mungkin mereka tak tahu itu arnab. "Cuma kalau boleh janganlah keluarkan kata-kata kasar seperti 'bodoh' dan sebagainya," katanya. Tambahnya, disebabkan sudah menjadi tular, beliau terpaksa mencari stok tambahan untuk memenuhi permintaan dan tempahan pelanggan. "Esok (Sabtu) saya sudah ada tempahan dan selebihnya saya akan jual di bazar," katanya. Harga seekor arnab mentah adalah sekitar RM30 hingga RM38 sekilogram dan Mohd Ebbie menjual arnab yang telah siap dipanggang pada harga bermula dari RM45.