BUKIT MERTAJAM: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusia 38 tahun direman selama tiga hari sehingga Isnin depan kerana didakwa memeras ugut seorang anggota polis. Suspek yang bertugas bersama Unit Perisikan (Zon Utara) di ibu pejabat SPRM, Putrajaya ditahan kira-kira pukul 10.20 malam Jumaat. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata suspek didakwa mengugut anggota polis terbabit supaya membayar kira-kira RM3,000 sebulan atau berdepan risiko ditahan SPRM. "Suspek beritahu anggota polis bahawa dia bertanggungjawab melaporkan perkembangan aktiviti perjudian haram," kata Nik Ros Azhan dalam satu kenyataan. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana peras ugut. Suspek yang memakai baju lokap warna jingga turut menutup wajahnya sebaik tiba di mahkamah majistret Bukit Mertajam kira-kira pukul 9.20 pagi Jumaat. Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit memberi perintah reman itu.