PETALING JAYA: Pemilik motosikal dengan nombor pendaftaran WFM7450 diminta supaya menyerah diri selepas terlibat dalam kes langgar lari seorang kanak-kanak lelaki di persimpangan pusat membeli-belah The Strand, Kota Damansara. Menurut pengguna Facebook, Ash Halip yang berkongsi detik cemas itu, insiden membabitkan anak kepada rakan baiknya itu berlaku pada malam, 8 Jun lalu. Ash Halip turut memuatnaik gambar kanak-kanak lelaki yang hanya dikenali sebagai Rayfan dalam keadaan berbalut dan hidung berdarah serta nombor pendaftaran motosikal suspek yang tertanggal di lokasi kejadian. Posting tersebut turut mendapat perhatian netizen yang bertindak menyebarkan gambar nombor pendaftaran motosikal suspek di laman Facebook mereka. Nombor pendaftaran motosikal suspek yang dipercayai tertanggal di lokasi kejadian. Rata-rata netizen mengutuk tindakan suspek yang enggan bertanggungjawab itu. Anizan Musa berkata:"Kurang ajar, dah langgar pi lari plak...eee geram betul. Zed Zabidi berkata:"Dah ada nombor plat boleh cari nanti... make sure buat report (polis) nanti. Sementara itu, Aiman Haikal berkata:"Done share." Netizen yang berang dengan suspek turut melakukan semakan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan motosikal tersebut. Menerusi satu gambar mesej saman PDRM menunjukkan, motosikal tersebut mempunyai empat saman sehingga 8 Jun lalu. Malah, insurans motosikal tersebut juga dipercayai sudah tamat tempoh.