ALOR SETAR: Polis Kedah pada Ahad menasihati masyarakat agar berhati-hati ketika membuat urus niaga dalam talian susulan kewujudan sindiket yang dipercayai menggunakan perisian pengintip 'spyware' untuk memperoleh maklumat urus niaga sebelum 'mencuri' pembayaran. Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, kewujudan sindiket itu dikesan susulan kes seorang pemilik syarikat minyak kapal yang kerugian RM4.5 juta selepas wang yang disangkakan dibayar kepada pembekal sebenarnya masuk ke akaun pihak ketiga yang menyamar. Katanya, lelaki berusia 47 tahun dari Sungai Petani itu mendakwa dia melakukan dua transaksi melibatkan akaun sebuah bank di Greensboro, North Carolina, Amerika Syarikat dan sebuah bank di Hong Kong, masing-masing pada 31 Mei dan 2 Jun lalu. "Pengadu hanya menyedari ditipu selepas dihubungi pihak pembekal sebenar yang menuntut bayaran dibuat dan pengadu membuat laporan polis pada 8 dan 10 Jun," katanya kepada pemberita di sini, Ahad. Asri berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya sindiket menggunakan spyware untuk mengintip urus niaga syarikat lelaki itu dengan pembekal bagi mendapatkan salinan komunikasi antara kedua-dua syarikat. "Setelah memperoleh maklumat berkaitan urusan dua syarikat itu ahli sindiket akan mewujudkan e-mel palsu yang seakan-akan e-mel pemilik syarikat pembekal untuk membuat rujukan dan membuat invois bayaran seperti asal dan meminta mangsa membuat pembayaran ke akaun bank," katanya. Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama polis antarabangsa bagi membantu siasatan kes yang dibuat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. "Saya minta pihak syarikat tidak ambil mudah hal ini dan perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak pembekal sebelum membuat bayaran ke akaun lain daripada yang kebiasaan kerana jika mangsa tidak betul-betul membuat pengesahan mereka akan tertipu atas kecuaian sendiri," katanya. - Bernama