PETALING JAYA: "Dia datang memang dalam keadaan terujalah, dia punya 'excited' pun lain macam," kata Asiff Amiz tentang kisah tular seorang wanita Korea yang telah membeli 'skirt sampin' di Bazar Ramadan Mega 2017 Hang Tuah Mall, Melaka. Asiff, 29, atau lebih senang disapa Asip menceritakan semula bagaimana dia dan rakan-rakan terpegun melihat wanita berkenaan begitu berminat dengan kain sampin yang dijual di salah sebuah kedai di bazar tersebut. Asip berkata, dia bagaimanapun tidak menyangka wanita berkenaan, yang datang bersama suami dan dua anaknya lebih berminat untuk memakainya sebagai skirt. "Dua hari lepas (Selasa) dia datang pakai skirt kembang, memang datang dalam keadaan terujalah, dia belek sampin tu satu-satu. "Bila tuan kedai tu datang, 'member' dah garu kepala macam mana nak 'explain' kepada wanita itu yang berulang kali angkat...letak sampin tu, macam nak tanya sesuatu," katanya kepada mStar Online, Khamis. Asip yang merupakan salah seorang urusetia di bazar itu dan kebetulan berada di kedai berkenaan hanya melihat gelagat kedua-dua mereka dari jauh, tetapi sempat merakamkan gambar wanita warga asing itu. Katanya, daripada pemerhatiannya, dia menjangkakan pelanggan berkenaan mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan warga tempatan. Asip turut rasa terkejut apabila wanita yang sama datang ke kedai itu sekali lagi pada malam berikutnya, kira-kira pukul 10 malam. "Semalam (Rabu) dia datang balik pakai seluar pendek, sebab itulah dia boleh sarung terus, sampin tu ada getah, bukan jenis lipat. "Memang 'kena' pula dia pakai, mungkin sebab dia cantik kot. Dia masukkan baju dalam sampin, memang sesuai, saya rasa tak ada orang boleh fikir buat macam tu," katanya. Menurut Asid, suaminya sempat singgah ke khemah urusetia di sebelah kedai tersebut apabila menyedari isterinya menjadi perhatian. "Dia cuba cakap tapi kami tak faham. Yang kami tahu dia cakap 'good...good' saja bila dia perasan kami ambil gambar isterinya, dia pun nampak suka dengan 'skirt' isterinya," katanya. Asip berkata, beliau dan rakan-rakan tidak pasti sama ada wanita tersebut memang sengaja mahu membuat kelainan dengan menjadikan sampin sebagai skirt, atau benar-benar tidak tahu bahawa sampin adalah pakaian tradisional kaum lelaki di negara ini. "Mungkin juga dia nampak benda tu cantik dan boleh pakai macam skirt dia terus berkenan. Mungkin juga bagi dia harganya murah, kita tak tahu apa yang difikirkan. "Bagi kami yang melihat, memang terpegun habis sebab 'kepala' dia lain macam, kita pun tak terfikir benda tu boleh jadi skirt, sebab songket, kita selama ni nampak benda tu sampin saja," katanya. Posting gambar yang dimuat naik oleh Asip telah menjadi tular di media sosial dan mendapat reaksi positif daripada netizen. Rata-rata memuji wanita berkenaan kerana kreatif dalam berfesyen.