PETALING JAYA: Saban hari, kita disajikan pelbagai video tular di media sosial terutamanya kes dera dan kecuaian melibatkan kanak-kanak. Malangnya kebanyakan si perakam video tidak bertindak untuk menegur atau menghalang daripada kejadian terus berlaku. Terbaharu, satu lagi insiden ‘ibu tak sayang anak’ dirakamkan yang menunjukkan tindakan seorang wanita meninggalkan anak perempuannya duduk di atas balkoni sebuah pangsapuri. Video berdurasi dua minit dan 31 saat yang dikongsikan di media sosial itu tidak dipastikan bila dan di mana ia dirakamkan tetapi dipercayai berlaku di Singapura. Rakaman tersebut menunjukkan seorang wanita berdiri di kaki lima bersama anaknya yang duduk di atas tembok balkoni. Wanita itu kemudian masuk ke rumah dan meninggalkan anaknya bersendirian. Bagaimanapun jiran ini segera keluar dan memanggil wanita berkenaan ketika rakaman masih berjalan. Kedengaran suara seorang lelaki yang merakamkan video tersebut menegur wanita berkenaan. Menegur dalam bahasa Inggeris, lelaki itu berkata: “Macam tu ke awak letak anak? Kalau suami awak lihat macam tu, awak akan kena marah dengan dia.” Tambah lelaki itu, tindakan wanita tersebut merupakan satu kesalahan di Singapura. Walaupun sudah ditegur, tetapi wanita terbabit tidak mengalihkan anak perempuannya yang masih duduk di atas tembok balkoni. Jiran tersebut kemudiannya memberitahu kepada seorang lelaki yang tidak dipastikan identitinya. “Dia (wanita) tinggalkan anaknya macam tu saja dan masuk ke dalam (rumah), tak boleh. Fikirkanlah soal keselamatan,” katanya.