PETALING JAYA: Seorang lelaki nyaris maut dibelit gajah menggunakan belalai dalam kejadian yang berlaku di Ladang Tunjuk Laut dekat Kulai pada petang Selasa. Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, heboh diperkatakan selepas beberapa gambar menunjukkan seorang lelaki yang merupakan pekerja ladang dengan kesan cedera, tular di media sosial. Difahamkan, mangsa terselamat selepas rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu menjerit dengan menyebut “Allahuakbar” supaya gajah melepaskannya. Sebaik sahaja dilepaskan gajah itu, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan. Mangsa cedera di bahagian leher, bahu dan badan. Difahamkan, ia merupakan kejadian pertama seumpamanya di ladang tersebut. Bagaimanapun tidak dipastikan punca sebenar mangsa dibelit belalai gajah. Beberapa pengguna Facebook memberikan respons berhubung insiden itu, di mana Hana Yoo Rin Salleh berkata: “Mesti ada buat apa-apa, bersebab ni sampai gajah tu naik angin.” ‘Solo Rider – UsuDon’ menulis: “Gajah ni sensitif. Dia tidak akan ganggu manusia jika tak terancam.” Sementara itu, ‘Usu Usu’ pula menulis: “Alhamdulillah, masih diberi umur panjang, hati-hati.”