PETALING JAYA: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menafikan dakwaan bahawa pejabatnya mengeluarkan kad perniagaan untuk isterinya, Datin Seri Haflin Saiful. Kad perniagaan yang tular di media sosial pada Rabu itu menunjukkan logo rasmi kerajaan berserta gambar kecil isterinya di bahagian kanan kad berkenaan. Di bawah nama yang tertera Datin Seri Haflin S, tertulis jawatan sebagai "Isteri-Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia". Turut tertera alamat lengkap pejabat menteri di Putrajaya bersama nombor telefon dan emel bekas personaliti televisyen itu. Nazri bagaimanapun berkata, kementeriannya tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang kad perniagaan kepada individu yang bukan berjawatan pegawai. "Dia tidak bekerja untuk kementerian. Ia adalah palsu. "Memang sentiasa ada orang di luar sana yang cuba mengenakan kami," katanya ketika dihubungi The Star.