suria

Pemandu Uber Sanggup Tunggu Tiga Jam Percuma

Pemandu Uber (kanan) yang sanggup menghabiskan masa tiga jam untuk mengambil dan menghantar pulang anak-anak golongan asnaf tanpa sebarang bayaran. Foto Facebook Kuan Chee Heng

PETALING JAYA: Seorang pemandu Uber sanggup menghabiskan masa tiga jam mengambil, menunggu dan menghantar pulang penumpang tanpa sebarang bayaran.

Pengalaman itu dikongsikan Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng di Facebooknya pada Selasa.

“Ini dia lelaki India yang sungguh baik hati. Dia pemandu Uber dan semalam (Isnin) terbaca ‘post’ saya minta pemandu Uber hantar yang susah pergi shopping.

“Saya tawarkan RM50 untuk tambang. Dia bukan sahaja hantar mereka percuma, dia juga tunggu selama tiga jam untuk ambil dan hantar mereka pulang,” katanya.

Chee Heng ketika dihubungi mStar Online berkata, tindakan pemandu yang sanggup mengetepikan upah pergi dan balik sebanyak RM100 demi membantu anak-anak golongan asnaf harus dipuji.

“Tiga jam bukan sekejap, tapi dia (pemandu) sanggup tunggu dan hantar balik. Dia turut ‘menyumbang’ kepada budak-budak yang nak ambil sumbangan Hari Raya. Bagus dia, bukan senang nak cari pemandu seperti ini,” ujar Chee Heng.

Beliau menambah, pemandu tersebut membawa dan menghantar pulang empat anak golongan asnaf yang tinggal di Puchong Utama.

Terdahulu, Chee Heng turut memberitahu agar kemurahan hati pemandu yang bernama Nesh itu wajar dijadikan contoh.

“Semua dia buat dengan senyuman dan percuma. Tabik hormat pemandu Uber dan Grab. Orang seperti dia yang membuatkan Malaysia terbaik,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain