suria

Fluffy Balik Kampung, Nak Makan Kuih Raya

PETALING JAYA: Kucing kesayangan ramai, Fluffy, meneruskan 'keasyikannya' menikmati hembusan angin di muka ketika membonceng motosikal bersama tuannya, kali ini ketika pulang beraya di kampung.

Fluffy nampaknya tidak mahu ketinggalan menyambut Aidilfitri, justeru si comel ini telah dibawa oleh tuannya, Afiq Shazwan On, 27, pulang beraya di Ipoh, Perak.

Afiq Syazwan ketika dihubungi mStar Online pada Rabu berkata, beliau dan Fluffy telah selamat tiba di Ipoh, kira-kira pukul 4 petang Selasa.

"Alhamdulillah kami dah selamat sampai kampung halaman. Perjalanan mengambil masa satu jam lebih, cuaca 'cantik' dan Fluffy pun gembira.

"Mungkin saya akan bawa Fluffy beraya di Kedah pada raya kedua nanti," katanya.

Menurut Afiq Shazwan, sebaik tiba, Fluffy disambut meriah oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Malah beliau juga sempat membawa Fluffy ronda-ronda pusing kampung dan Fluffy amat gembira.

Katanya, Fluffy juga dilihat gemar makan kuih makmur berbanding juadah raya lain setiap kali tibanya lebaran.

"Kuih makmur manis, 'dia' makan," katanya.

Bagaimanapun, tidak seperti tahun lalu, baju raya Fluffy tidak sempat ditempah tahun ini.

"Tahun lepas ada, tapi tahun ni belum sempat nak tempah 'Meowku' dah tutup tempahan," katanya.

Fluffy adalah seekor kucing baka Parsi, berusia dua tahun dua bulan dan mempunyai akaun Facebook sendiri. Fluffy juga setakat ini mempunyai lebih hampir 60,000 pengikut.

Setiap aktiviti atau aksi comelnya akan dimuat naik oleh Afiz Syazwan hampir setiap hari, bagi menghargai peminat setia Fluffy, termasuklah video Fluffy membonceng motosikal bersamanya yang beberapa kali tular di media sosial.

Setakat ini Fluffy pernah menaiki motosikal ke Johor, Kuantan dan Thailand.

Fluffy, kucing, kucing popular

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain