KUALA LUMPUR: Penumpang penerbangan yang akan balik kampung atau bercuti sempena Aidilfitri perlu bertindak jika hak mereka sebagai penumpang tidak diberi layanan yang sepatutnya. Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Tan Sri Abdullah Ahmad berkata jika berdepan dengan perkhidmatan penerbangan yang tidak memuaskan di mana-mana lapangan terbang di Malaysia atau semasa penerbangan, mereka boleh membuat aduan kepada pihak yang berkenaan. "Khususnya kes bagasi yang rosak atau hilang, dan penerbangan yang dibatalkan atau tertangguh," katanya kepada Bernama. Beliau berkata di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan yang diperkenalkan Mavcom tahun lepas, penumpang boleh menuntut pampasan sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan dengan penerbangan yang dinaiki. Beliau berkata berdasarkan kod perlindungan itu, jika sesebuah penerbangan itu tertangguh selama dua jam atau lebih, penumpang yang terlibat layak mendapat pampasan dalam bentuk makanan dan perkhidmatan telefon atau internet. "Jika ia tertangguh selama lima jam atau lebih, penumpang layak mendapat penginapan hotel dan pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel," kata Abdullah yang juga bekas Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM). Mavcom menerima 2,041 aduan daripada pengguna sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac tahun lepas, dan 95 peratus daripadanya telah diselesaikan. Beliau berkata, bagaimanapun sebelum membuat aduan kepada Mavcom, penumpang perlu membuat aduan kepada syarikat penerbangan atau pengurusan lapangan terbang terlebih dahulu. "Jika tiada sebarang respon dalam tempoh 24 jam, mereka perlu menghubungi Mavcom untuk tindakan selanjutnya," katanya. -Bernama