suria

Jutawan Kosmetik Pilu Kenang Nasib Bayi Terbuang

Faziani bersama bayi yang diselamatkannya selepas ditemui dalam keadaan masih bertali pusat ditinggalkan di luar pejabatnya, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Tiada apa yang lebih memilukan melainkan membayangkan tangisan anak kecil yang baharu melihat dunia terpaksa menyambut kedatangan Syawal tanpa ibu dan ayah.

Begitulah rintihan hati jutawan kosmetik ini yang tersentuh mengenangkan nasib bayi perempuan yang ditemuinya di pagi 10 hari terakhir Ramadan.

Faziani Rohban Ahmad berulang kali menyifatkan tindakan pihak yang membuang bayi itu tidak berperikemanusiaan tetapi diberikan peluang untuk dia menyelamatkan satu nyawa tidak berdosa adalah pengalaman yang amat bermakna.

"Alhamdulillah, bayi itu kini diserahkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas dirawat di hospital.

"Kes berkenaan masih dalam siasatan, tapi saya dan keluarga berharap diberikan peluang untuk melawat anak kecil ini semasa hari raya nanti," katanya kepada mStar Online.

FAZIANI bersama suaminya, Shah Rizal.

Pengasas produk Dnars ini mengimbas kembali detik-detik cemas menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalam sebuah beg, ditinggalkan di luar pejabatnya di Pasir Pekan dekat Kota Bharu, awal pagi 15 Jun lalu.

Tindakan pantas Faziani dengan bantuan adik dan pembantu rumahnya berjaya menyelamatkan anak kecil itu.

Faziani berkata, dia dan suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim sentiasa mendoakan kesejahteraan bayi tersebut.

"Suami belum berkesempatan melihat bayi comel itu kerana ketika kejadian dia berada di Kuala Lumpur.

"InsyaAllah, jika diberikan peluang kami sekeluarga akan melawatnya," ujar Faziani yang seperti kebiasaan berhari raya bersama keluarga di Kota Bharu.

Faizani Dinars

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain