suria

Bengah, Afiatul Beraya Di Konti?

Bengah (kiri) bersama Afiatul.

PETALING JAYA: Seorang personaliti media sosial yang mendapat perhatian kerana aksi mencuit hati bersama adik istimewanya menyambut lebaran Aidilfitri di konti.

Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba sudah bertukar karier sebagai penyampai radio, adakah ia benar? 

Bengah atau Hammad Zamakhashari Mohd Noor, 31, mendedahkan dia bersama adik istimewanya yang menghidap Sindrom Down, Afiatul Salsabiila, 19, yang lebih mesra dipanggil Afiatul sebenarnya beraya bersama keluarga.

Bagaimanapun Bengah berkata, dia dan adiknya menerima jemputan daripada sebuah stesen radio untuk menyertai program sempena Aidilfitri kali ini.

"Bukan kami kena beraya di konti tapi sekadar menerima undangan untuk program yang stesen radio itu anjurkan.

"Saya dan Afiatul masih lagi beraya bersama keluarga, dan merancang untuk beraya bersama saudara-mara di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Pantai Remis, Perak, InsyaAllah," katanya kepada mStar Online.

Bengah yang digelar sebagai Abang Yang Penyayang menerusi akaun Instagram 'Makhlokmacho' baru-baru ini memenangi kategori personaliti media sosial dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Afiatul memegang trofi kemenangan bagi kategori personaliti media sosial dalam ABPBH.

Bengah berkata, setakat ini belum dipastikan sama ada sesi bersama stesen radio tersebut akan dibuat di dalam konti atau pada majlis hari raya yang mereka anjurkan.

"Belum pasti lagi kerana undangan hanya meminta saya bersama Afiatul untuk turut serta memeriahkan suasana raya.

"Pada masa sama, ia juga bergantung kepada 'mood' Afiatul. Kalau 'mood' dia tak okay, nampaknya saya seorang sajalah yang akan bersama dengan penyampai-penyampai radio," katanya.

Menurut Bengah, ia bukan kali pertama mereka diundang ke konti kerana sebelum ini pernah menyertai program bersama penyampai-penyampai stesen radio.

"Jadi, saya harap Afiatul dapat sesuaikan diri sebab dia pernah masuk ke konti. Kalau 'mood' dia tak okay, mungkin saya pujuk dia dengan bagi makan kentang," katanya yang merujuk kepada makanan kegemaran Afiatul.

Bengah, Afiatul

Artikel Berikut

Artikel Lain